Berita

COVID-19: 3,714 kes baharu dilaporkan hari ini, 99.8 peratus kategori 1 dan 2
Tarikh : 07 Sep 2021  Sumber Berita: Utusan Borneo Online
 

KUCHING: Sarawak terus merekodkan peningkatan kes COVID-19 dengan 3,714 kes baharu dilaporkan hari ini, jumlah tertinggi setinggi setakat ini.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) dalam kenyataannya berkata dengan penambahan 3,714 kes hari ini, jumlah kumulatif kes COVID-19 di negeri ini kini 134,612.

JPBNS bagaimanapun berkata, 99.8 peratus daripada 3,714 kes baharu hari ini adalah kategori 1 (tiada gejala) dan kategori 2 (gejala ringan) manakala kategori 3 (jangkitan paru-paru) dan kategori 5 (jangkitan paru-paru dan memerlukan vebtilator) masing-masing dua kes.

Menurutnya 3,251 atau 87.53 peratus daripada 3,714 kes hari ini tidak bergejala manakala 459 (12.36 peratus) bergejala, dua (0.05 peratus) masing-masing bagi kes mengalami jangkitan paru-paru dan jangkitan paru-paru dan memerlukan ventilator.

 

“Kuching merekodkan jumlah kes harian tertinggi 1,765 diikuti Samarahan (358), Sibu (276), Bintulu (158), Asajaya (121), Selangau (98), Sri Aman (92), Serian (80), Song (75), Miri (72), Betong (71), Simunjan (68) Mukah (61), Tatau (53), Kapit (49), Subis (43), Belaga (41) dan Kanowit (40).

“Pada hari ini kes-kes positif COVID-19 juga dikesan di Bau (36), Lubok Antu (32), Meradong (21), Saratok (20), Limbang (18), Pusa (16), Dalat (11), Sarikei (9), Lundu (6), Tebedu (5), Lawas (4), Matu (4), Pakan (3), Beluru (3), Sebauh (3), Daro (1) dan Julau (1),” katanya.

 

Pada hari ini, JPBNS memaklumkan 12 kematian disebabkan COVID-19 dilaporkan di negeri ini iaitu tiga di Kuching, empat di Pusa, Serian, Bintulu, Sibu, Song dan Sibu masing-masing satu kes.

 

Mangsa berumur antara 42 hingga 84 tahun dengan kesemuanya mempunyai ko-morbit seperti darah tinggi, asma, kencing manis, penyakit jantung, strok, dislipdemia, kanser dan gout, jelasnya.

 

“Jumlah kes yang masih aktif di Sarawak ketika ini ialah 31,482 manakala jumlah kumulatif kes telah pulih dan dibenarkan discaj dari hospital setakat ini ialah 102,333 atau 76.02 peratus.

“Pada hari ini 2,209 kes telah pulih dan dibenarkan discaj dari hospital,” tambahnya.