Berita

COVID-19: 3,200 kes baharu, tujuh kematian di Sarawak
Tarikh : 08 Sep 2021  Sumber Berita: Utusan Borneo Online
 

KUCHING: Sarawak hari ini merekodkan sebanyak 3,200 kes baharu positif COVID-19 dengan tujuh kematian, kata Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS).

Menurut JPBNS, daripada jumlah kes baharu itu, 3,192 atau 99.75 peratus kes adalah daripada kategori satu iaitu tiada gejala dan dua (gejala ringan) manakala lapan atau 0.25 peratus adalah kategori lima iaitu jangkitan paru-paru dan memerlukan ventilator.

“Daerah Kuching kekal merekodkan kes harian tertinggi dengan 805 kes diikuti Serian (630), Sibu (271), Bintulu (211), Samarahan (126), Belaga (123), Betong (119), Saratok (112), Tebedu (94), Tatau (93) dan Pusa (80).

“Lain-lain kes turut dikesan di Miri (63), Pakan (57), Selangau (41), Lubok Antu (38), Kapit (36), Song (34), Mukah (27), Subis (27), Sarikei (26), Simunjan (20), Sri Aman (14), Beluru (13) dah Sebauh (13).

“Manakala Kanowit mencatatkan tujuh kes, Meradong (6), Lundu (4), Matu (4), Julau (2), Kabong (2), Lawas (2), Bukit Mabong (2), Tanjung Manis (1) dan Dalat (1),” katanya dalam kenyataan hari ini.

JPBNS berkata dengan jumlah kes baharu itu ia sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kes di Sarawak meningkat kepada 137,812.

Mengenai tujuh kematian hari ini, kata Jawatankuasa, ia sekali gus menjadikan jumlah kematian akibat COVID-19 bertambah kepada seramai 583 orang.

Kes kematian itu, katanya melibatkan empat lelaki dan tiga perempuan tempatan berumur antara 36 hingga 81 tahun.

“Dua kematian dilaporkan apabila jenazahnya dibawa ke Klinik Kesihatan Pusa dan satu jenazahnya dibawa ke Hospital Bau.

“Sementara satu kematian masing-masing dilaporkan di Hospital Serian, Hospital Bintulu, Hospital Umum Sarawak dan Hospital Sarikei,” jelas Jawatankuasa itu.

Dalam pada itu, daerah Sebauh bertukar status dari jingga ke merah selepas merekodkan 45 kes dalam tempoh 14 hari yang lepas.

JPBNS berkata ia sekali gus menjadikan 33 daerah di negeri ini berstatus merah bagi COVID-19.

"Sementara Julau telah bertukar ke status jingga daripada kuning selepas merekodkan 22 kes dalam tempoh 14 hari yang lepas.

"Ini menjadikan daerah yang berstatus jingga di negeri ini bertambah kepada tiga daerah manakala daerah berstatus kuning (tiga) dan status hijau (1)," katanya lagi.