Berita

88.8 peratus lengkap dos vaksin di Sarawak
Tarikh : 08 Sep 2021  Sumber Berita: Utusan Borneo Online
 

KUCHING: Sebanyak 88.8 peratus atau kira-kira 1.8 juta orang daripada kira-kira 2.06 juta populasi yang layak di Sarawak telah lengkap dos vaksin COVID-19 setakat 5 September.

Data daripada Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak menerusi infografik disediakan Unit Komunikasi Awam Sarawak, turut menyatakan 91.2 peratus atau 1,884,167 individu telah menerima dos pertama mereka.
Setakat 5 September tiga bahagian merekodkan peratusan penduduk lengkap dua dos melebihi 100 peratus.
Antara tiga bahagian berkenaan adalah Samarahan yang merekodkan peratusan tertinggi iaitu mencapai 106.2 peratus, diikuti Serian (105.1 peratus) dan Bintulu (102.5 peratus).
Manakala satu bahagian iaitu Mukah satu-satunya yang merekodkan peratusan penduduk lengkap dua dos 90.4 peratus.
Sementara itu lima bahagian lagi merekodkan peratusan penduduk lengkap dua dos melebihi 80 peratus iaitu Sibu 89.1 peratus, Miri (89 peratus), Betong (87.2 peratus), Kuching (85.3 peratus) dan Sarikei 81.8 peratus.
Manakala tiga bahagian merekodkan peratusan penduduk lengkap dua dos dibawah 80 peratus iaitu Limbang 78.9 peratus, Sri Aman (75.3 peratus) dan Kapit 69.1 peratus.