Berita

COVID-19: 99.87 peratus kes baharu tiada gejala dan bergejala ringan
Tarikh : 09 Sep 2021  Sumber Berita: Utusan Borneo Online
 

KUCHING: Sebanyak 3,096 daripada 3,100 kes baharu COVID-19 direkodkan di Sarawak hari ini tergolong dalam kategori tiada gejala (1) dan gejala ringan (2).

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) turut memaklumkan empat kes adalah tergolong dalam kategori jangkitan paru-paru dan memerlukan ventilator (5).

Tiada kes dalam kategori jangkitan paru-paru (3) dan jangkitan paru-paru dan memerlukan oksigen.

“Kuching masih merekodkan kes harian tertinggi dengan 804 kes diikuti Sibu (379), Samarahan (252), Bintulu (231), Lundu (155), Bau (152), Asajaya (133), Miri (91), Betong (84), Sri Aman (83) dan Simunjan (71).

“Lain-lain kes dikesan di Serian (69), Pakan (67), Song (66), Subis (64), Pusa (47), Kapit (45), Mukah (38), Saratok (37), Tebedu (36),Tatau (32), Limbang (24), Sarikei (21) dan Lubok Antu (20),” katanya dalam kenyataan.

JPBNS menambah, turut mencatatkan kes ialah Lawas (19), Julau (19), Selangau (18), Matu (11), Kanowit (9), Meradong (5), Marudi (5), Kabong (4), Beluru (3), Sebauh (3), Belaga (1), Bukit Mabong (1) dan Telang Usan (1).

Dengan penambahan 3,100 kes baharu ini, jumlah keseluruhan kes positif di Sarawak kini sebanyak 140,912 kes manakala jumlah kematian kini seramai 593 orang. 

Mengenai 10 kes kematian, lima kes melibatkan perempuan tempatan dan lima lagi melibatkan lelaki tempatan.

Kesemua mereka katanya, berumur antara 20 hingga 94 tahun.

“Tiga kes kematian dilaporkan meninggal dunia di Hospital Umum Sarawak dan dua kematian di Hospital Kapit dengan salah satunya jenazah dibawa ke hospital tersebut.

“Dua kematian juga dilaporkan di Hospital Bintulu dengan salah satunya jenazah dibawa ke hospital tersebut manakala satu kes kematian masing-masing di Hospital Sarikei, Hospital Miri dan Hospital Bau,” katanya.

JPBNS turut memaklumkan terdapat 1,846 kes pulih dan dibenar discaj hari ini, manakala jumlah kes masih aktif dan mendapat rawatan serta diasingkan di wad hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah COVID-19 (PKRC) sebanyak 34,292.

Dalam pada itu, daerah Lawas, Matu dan Julau telah bertukar ke status merah daripada Jingga setelah masing-masing merekodkan 55, 45 dan 41 kes dalam tempoh 14 hari yang lepas.

Ini menjadikan daerah berstatus merah di Sarawak sebanyak 36, kuning (3) dan hijau (1)  manakala tiada daerah berstatus jingga.