Berita

3,118 kes COVID-19 di Sarawak, sembilan kematian
Tarikh : 10 Sep 2021  Sumber Berita: Utusan Borneo Online
 

KUCHING: Kes harian COVID-19 di Sarawak kekal empat angka dengan 3,118 kes baharu direkodkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif di negeri ini kini 144,030. 

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) dalam kenyataan berkata 99.87 peratus atau 3,114 daripada kes baharu ini adalah kategori 1 (2,435) dan kategori 2 (679).  

Manakala empat kes atau 0.13 peratus adalah kategori 3 (1 kes), kategori 4 (2 kes) dan kategori 5 (1 kes). 

“Kuching merekodkan kes harian tertinggi 984 kes diikuti Sibu (430), Betong (200), Bau (143), Bintulu (140), Sri Aman (132), Samarahan (131), Serian (117), Miri (113), Song (112), Julau (65), Subis (54), Sarikei (51), Mukah (51), Kapit (43) dan Selangau (38). 

“Lain-lain kes dikesan di Lubok Antu (37), Asajaya (33), Tatau (30), Meradong (29), Limbang (27), Pakan (25), Tebedu (24), Simunjan (20), Bukit Mabong (20), Pusa (17), Telang Usan (13), Saratok (11), Kabong (11), Beluru (8), Kanowit (3), Lawas (2), Dalat (2), Matu (1) dan Marudi (1),” katanya. 

JPBNS turut memaklumkan terdapat sembilan kes kematian baharu akibat COVID-19 menjadikan jumlah keseluruhan kematian kini meningkat kepada seramai 602 orang. 

“Kes kematian ini melibatkan empat lelaki dan lima perempuan berumur antara 66 hingga 87 tahun. 

“Empat kematian direkodkan di daerah Kuching dan masing-masing satu kematian di Lubok Antu, Miri, Simunjan, Sibu dan Saratok,” katanya menambah kesemua sembilan kematian ini mempunyai latar belakang penyakit lain. 

Dalam pada itu terdapat 2,334 kes pulih dan dibenar discaj hari ini menjadikan jumlah kes pulih kini meningkat kepada 108,132 orang atau 75.08 peratus daripada keseluruhan kes positif di negeri ini. 

Jumlah kes masih aktif dan mendapat rawatan serta diasingkan di wad hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah COVID-19 (PKRC) sebanyak 35,068 kes.