Berita

Sarawak rekod 5,291 kes COVID-19, angka tertinggi setakat ini
Tarikh : 13 Sep 2021  Sumber Berita: Utusan Borneo Online
 

KUCHING: Sarawak hari ini merekodkan 5,291 kes baharu COVID-19 iaitu angka harian tertinggi sejak pandemik melanda tahun lepas, menjadikan jumlah kumulatif kini 156,798 kes.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata, daripada jumlah 5,291 kes baharu itu, 99.94 peratus kes berada pada tahap kategori 1 (tiada gejala) dan kategori 2 (gejala ringan).

Manakala satu kes atau 0.02 peratus masing-masing daripada kategori 3 ( jangkitan paru-paru), kategori 4 (jangkitan paru-paru dan memerlukan oksigen) dan kategori 5 (jangkitan paru-paru dan memerlukan ventilator).

“Bilangan kes yang tinggi hari ini merupakan kumulatif “backlog” ujian selama lima hari yang lepas. 

“Ini disebabkan peningkatan aktiviti pengesanan aktif kontak kepada kes di semua bahagian di Sarawak terutamanya di lokaliti yang mempunyai kluster aktif,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut JPBNS, Kuching masih merekodkan kes harian tertinggi dengan 1,845 kes diikuti Serian (620), Sibu (436), Bintulu (435), Bau (212), Samarahan (196), Sri Aman (162), Lundu (154), Betong (138) dan Miri (122).

Lain-lain kes dikesan di Sarikei (99), Mukah (96), Simunjan (80), Julau (74), Pakan (65), Kanowit (63), Asajaya (56), Tebedu (55), Subis (41), Kapit (37), Selangau (35), Limbang (33), Lubok Antu (33) dan Meradong (31).

Manakala Saratok mencatatkan 29 kes, Lawas (25), Matu (22), Dalat (19), Belaga (17), Pusa (16), Marudi (14), Tatau (12), Song (7), Sebauh (7), Bukit Mabong (3) dan Beluru (2).

Sementara itu, JPBNS memaklumkan lapan kes kematian akibat COVID-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kematian kini seramai 625 orang. 

Katanya, kes kematian itu melibatkan tujuh lelaki dan seorang wanita yang berumur antara 31 hingga 86 tahun.

“Empat kematian dilaporkan di Hospital Umum Sarawak dengan tiga jenazah dibawa ke hospital itu.

“Manakala tiga kematian dilaporkan di Hospital Bintulu dan satu di Hospital Sibu,” katanya.

Dalam pada itu, terdapat 2,808 kes pulih dan dibenar discaj hari ini manakala jumlah kes yang masih aktif di Sarawak ketika ini sebanyak 39,982.