Berita

Jangan ambil ringan SOP
Tarikh : 13 Sep 2021  Sumber Berita: Sarawak Voice
 

KUCHING: Orang ramai ditegaskan agar tidak leka, terus kekal waspada serta sentiasa mengamalkan saranan dan nasihat kesihatan setiap masa.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, nasihat tersebut sewajarnya dijadikan satu kebiasaan baharu dalam kehidupan harian.

“Ia termasuk mengelakkan 3S atau 3C iaitu elakkan kawasan yang sesak, sempit dan sembang dengan jarak yang dekat.

“Selain terus mengamalkan 3W iaitu kerap mencuci tangan dengan air dan sabun, memakai pelitup separuh muka di tempat awam serta mematuhi amaran Kementerian Kesihatan (KKM) yang berkonsep peringatan.

“Elakkan bersalaman atau bersentuhan, amalkan etika batuk dan bersin, dapatkan rawatan segera jika bergejala, duduk di rumah dan elakkan kunjung-mengunjung serta lalukan aktiviti disinfeksi dan pembersihan di kawasan yang kerap disentuh,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

JPBN turut menasihati orang ramai untuk terus mengingati prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Orang yang berisiko tinggi seperti kanak-kanak, bayi, warga emas dan orang kelainan upaya (OKU) perlu dilindungi, individu tidak sihat dan bergejala dikehendaki segera menjalani pemeriksaan kesihatan,” jelasnya lagi.