Berita

Hampir 100 peratus dijangkiti COVID-19 dalam kategori 1 dan 2
Tarikh : 14 Sep 2021  Sumber Berita: Utusan Borneo Online
 

KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) melaporkan 99.89 peratus atau 3,518 daripada 3,522 kes baharu COVID-19 direkodkan di Sarawak hari ini merupakan kategori satu dan dua, manakala kategori tiga, empat dan lima hanya empat kes atau 0.11 peratus.

Sebanyak 2,789 atau 79.19 peratus daripada 3,522 kes baharu COVID-19 adalah kategori satu (tiada gejala), 729 atau 20.7 peratus pula kategori 2 (gejala ringan), manakala kategori lima (jangkitan paru-paru dan memerlukan ventilator) empat kes atau 0.11 peratus, jelas JPBNS menerusi kenyataan.

Hanya tiga daerah tidak merekodkan kes baharu iaitu Marudi, Daro dan Kabong.

Daerah Kuching kekal merekodkan jumlah kes harian COVID-19 tertinggi iaitu 1,221 diikuti Bintulu (382), Sibu (232), Serian (231), Miri (178), Lundu (110), Mukah (106) , Pusa (84), Betong (82), Saratok (79), Asajaya (74), Sarikei (69), Sri Aman (68), Pakan (59), Subis (56), Sebauh (54), Lubok Antu (53) dan Samarahan (37).

Kes baharu COVID-19 turut dikesan di Limbang (35), Belaga (32), Kanowit (32), Kapit (32), Bau (31), Lawas (29), Tebedu (28), Beluru (20), Meradong (19), Selangau (19), Song (16), Dalat (13), Tatau (13), Bukit Mabong (12), Simunjan (8), Matu (3), Tanjung Manis (3), Julau (2) dan Telang Usan (1).

Satu kes baharu dilaporkan hari ini adalah Import A melibat seorang individu tiba dari Emiriah Arab Bersatu (UEA) manakala enam kes merupakan Import B dengan lima daripadanya dari Sabah dan Satu dari Selangor.

Lima lagi kematian direkodkan menjadikan jumlah kumulatif kes kematian kini 630 kes. Kes ke-626 melibatkan lelaki berumur 55 tahun dari Sibu, kes ke-627 pula  lelaki berusia 86 tahun, berasal dari Kuching.

Kes kematian ke-628 juga seorang lelaki, berusia 85 tahun, dari Bau. Kes Ke-629 pula wanita berumur 64 tahun dari Kuching  dan kes ke-630 melibatkan wanita berumur 54 tahun dari Sri Aman.

Semua kes mempunyai ko-morbid seperti penyakit darah tinggi, kencing manis, dyslipidemia, gout, penyakit jantung, penyakit paru-paru obstruktif kronik,penyakit buah pinggang kronik, penyakit auto-imun dan kanser.

Setakat ini juga 41,241 kes COVID-19 yang masih aktif di Sarawak manakala 111,209 atau 73.73 peratus daripada 160,320 jumlah keseluruhan kes di Sarawak telah pulih dan dibenarkan discaj dari hospital.