Sarawak ID|Register
Polls
Announcements

Berita

Lebih 67 peratus remaja di Sarawak terima dos pertama vaksin setakat 15 Sept
Tarikh : 17 Sep 2021  Sumber Berita: Utusan Borneo Online
 

KUCHING: Seramai 65,252 atau 67.3 peratus remaja berusia 12 hingga 17 tahun telah disuntik dos pertama vaksin COVID-19 di seluruh Sarawak setakat 15 September 2021.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata di Sarawak dianggarkan populasi remaja berusia 12 hingga 17 tahun adalah 289,000 orang.

"Daripada 65,252 remaja telah disuntik, seramai 61,271 atau 63.6 peratus adalah mereka berusia 16 hingga 17 tahun, iaitu daripada 96,400 remaja berusia lingkungan berkenaan.

"Sementara mereka berusia 12 hingga 15 tahun yang berkomorbiditi seramai 3,981 atau 2.1 peratus telah menerima dos pertama mereka dan ia adalah daripada 192,800 populasi berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Majma yang turut dihadiri Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Dato Sri Dr Sim Kui Hian di sini, hari ini.

Abang Johari berkata, dengan pencapaian itu ia menggambarkan bahawa Sarawak kini berada pada landasan yang betul dalam memastikan semua rakyatnya mendapat vaksinasi demi keselamatan daripada COVID-19.

Jelasnya sementara bagi mereka berusia 12 hingga 15 tahun yang sihat, program vaksinasi kumpulan berkenaan dijangka bermula pada hujung September 2021.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada ibu bapa yang telah memberi kerjasama begitu baik dalam program suntikan ini kerana memberi keizinan bersama anak mereka untuk diberi vaksin.

"Saya juga mengucapkan terima kasih kepada guru dan pihak sekolah yang terlibat dimana hari ini ramai dikalangan mereka bersama di PPV di sini," katanya.

Beliau percaya dengan program vaksinasi remaja dan dewasa di Sarawak, pada penghujung tahun ini bermakna ramai rakyat negeri ini termasuk remaja diberi suntikan vaksin.

Sementara itu mengenai program PPV Dewan Majma, Abang Johari berkata pada hari ini seramai 965 pelajar disuntik iaitu terdiri daripada Kolej Vokasional Matang dengan seramai 557 orang dan Kolej Vokasional Kuching (408 pelajar).

Sehingga kini sebanyak 234 sekolah telah terlibat aktiviti vaksinasi remaja ini dan 10 bahagian di sarawak telah selesai menjalankan suntikan murid 16 hingga 17 tahun manakala manakala dua bahagian lagi akan selesai aktiviti ini pada esok