News

 

IPD Sri Aman Kini Diterajui Superintenden Polis Dennis Bunyam

Posted on 27 Mar 2025
Source of News: Suara Sarawak

SIMANGGANG: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sri Aman, yang dinaik taraf kepada IPD kategori B, kini diterajui oleh Ketua Polis Daerah (KPD) berpangkat Superintenden Polis (SUPT).

Hari ini menyaksikan SUPT Dennis Bunyam menerima jawatan tersebut, yang disematkan oleh Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata, dalam Majlis Serah Terima Jawatan KPD Sri Aman dan Lubok Antu yang berlangsung di sini.

Dennis menggantikan Deputi Superintenden (DSP) Mathew Manggie, yang akan berpindah ke Saratok untuk memegang jawatan sebagai KPD.

Mathew sebelum ini telah memegang jawatan tersebut selama setahun tujuh bulan di Sri Aman.

Sementara itu, IPD Lubok Antu turut menyaksikan perubahan kepimpinan apabila DSP Victor Ripon menyerahkan jawatan kepada DSP Pricha Azin.

Victor, yang berkhidmat sejak 1 November 2021 di Lubok Antu, akan berpindah ke IPD Kuching sebagai Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK).

Majlis serah terima tugas semalam juga melibatkan penyerahan jawatan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) IPD Sri Aman daripada Corina Nobes kepada Olivia Nayun Kunsu.

Sementara itu, jawatan Pengerusi PERKEP IPD Lubok Antu sebelum ini, yang dipegang oleh Olive Suriavina Miret, telah diserahkan kepada Christina Tajak.

Majlis serah terima tugas tersebut turut disaksikan oleh Naib Pengerusi PERKEP Kontinjen Sarawak, Faisha Ishak.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Saifullizam Ishak, dan Senior Asisten Komisioner, Rizal Abd Rahman Sidek, turut hadir dalam majlis berkenaan.


LUBOK ANTU… Mancha turut menyaksikan serah terima tugas KPD Lubok Antu antara Pricha (kanan) dan Victor (kiri) di sini, hari ini. Foto: OSMAN RAZAL