picture

News

 

Kepakaran Sarawak sebagai negeri pengeluar hidrogen diiktiraf negara luar

Posted on 29 May 2023
Source of News: Utusan Borneo
Abang Johari dan kenamaan lain melepaskan peserta Konvoi Kembara Sarawak Merdeka di Lawas.Abang Johari dan kenamaan lain melepaskan peserta Konvoi Kembara Sarawak Merdeka di Lawas.


LAWAS: Kepakaran Sarawak sebagai negeri pengeluar hidrogen dan jauh ke hadapan menerokai teknologi diperbaharui turut diiktiraf negara luar di rantau Asia dan dunia.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Sarawak memasuki era baharu dan mempunyai keupayaan mengeluar dan membekal tenaga hidrogen kerana mempunyai banyak sungai dan tasik yang boleh diproses untuk dijadikan bahan hidrogen kegunaan kenderaan.

“Kita masuk era baharu, Sarawak ada sumber menukarkan iklim dunia pada hari ini menggunakan teknologi diperbaharui, karbon dan hidrogen.

“Sarawak menjadi negeri ke hadapan memiliki hidrogen dan kita sudah ada bas menggunakan hidrogen, bahan bakar masa depan sehingga menarik perhatian negara di dunia ini,” katanya pada Majlis Pelancaran Kembara Sarawak Merdeka sempena sambutan Perayaan 60 Tahun Sarawak Merdeka di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Julaihi Narawi, Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia Datuk Hasbi Habibollah, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki serta kenamaan lain.

Abang Johari berkata, Sarawak pantas berubah kerana teknologi baharu dikuasainya.

“Saya nampak Sarawak berubah dengan cepat sebab anak Sarawak boleh mendalami ilmu canggih dan tambah nilai sumber asli yang ada di Sarawak,” katanya.

Beliau berkata, selain hidrogen Sarawak juga mempunyai potensi dalam tangkapan dan penyimpanan karbon. 

“Ada teknologi karbon boleh ditangkap dan disimpan supaya iklim kita suhunya turun dan Sarawak mempunyai kelebihan dan anak Sarawak pandai mengatur hal karbon,” jelasnya. 

Katanya, Sarawak menjalinkan kerjasama dengan Jepun, Petronas dan Angkasa Malaysia dalam penghasilan bahan api bio berasaskan mikroalga atau lumut.

Abang Johari berkata, cuaca Sarawak amat sesuai menghasilkan mikroalga yang dijadikan sumber bahan mentah dalam pengeluaran bahan api bio. 

“Sejingkat dan Demak Laut ada makmal mengeluarkan bahan bakar digunakan sebagai bahan api untuk kapal terbang, minyak buatan Sarawak dan sebab itu saya pergi ke Langkawi menggunakan minyak berasaskan lumut, semua ini menunjukkan masa depan Sarawak cerah,” katanya.