picture

 

Probate


Probet



Probet adalah satu proses yang membolehkan harta seseorang yang meninggal dunia ditadbir dan dipindah kepada warisnya atau pihak lain. Di Sarawak, pentadbiran estet adalah ditadbir mengikut peruntukan Ordinan Pentadbiran Harta Pusaka (Administration of Estates Ordinance) (Bab 80) dan pengutipan duti estet adalah ditadbir mengikut peruntukan Ordinan Duti Estet (Estate Duty Ordinance) (Bab.29).

"Surat Kuasa Pentadbir" (Letter of Administration) bermakna pemberian representasi rasmi yang dikeluarkan kepada wakil seseorang yang meninggal dunia tanpa wasiat.


"Surat Probet" bermakna pemberian representasi rasmi yang dikeluarkan kepada wakil seseorang yang meninggal dunia yang berwasiat.


Pegawai Daerah Sri Aman adalah "Pegawai Probet" bagi Daerah Sri Aman.


Siapa yang layak memohon?

Orang seperti di bawah jika dewasa dan waras adalah berhak untuk diberikan Surat Kuasa Pentadbir mengikut keutamaan di bawah Seksyen 8, Ordinan Pentadbiran Harta Pusaka seperti berikut :-


  1. Duda Si Mati.
  2. Anak Lelaki Si Mati.
  3. Bapa Si Mati.
  4. Adik-beradik lelaki Si Mati.
  5. Balu Si Mati.
  6. Saudara-mara lelaki Si Mati yang terdekat.
  7. Saudara-mara perempuan Si Mati yang terdekat.
  8. Pemiutang Si Mati.



Cara permohonan

Pemohon harus membawa dokumen-dokumen seperti berikut :-


  1. Sijil Kematian asal atau Surat Sumpah jika kematian berlaku sebelum 16.9.1963
  2.  Senarai aset dan dokumen-dokumen asal yang berkaitan
  3. Surat Persetujuan atau Surat Melepaskan Tuntutan Surat Kuasa Pentadbiran dan daripada waris kadim yang tidak dapat hadir
  4. Ketua Masyarakat atau Ketua Kaum bagi kawasan berkenaan juga harus hadir bersama untuk mengesahkan laporan yang dibuat



Permohonan pemberian surat probet

Pemohon perlu membawa Wasiat asal sekiranya ia tidak tersimpan dengan Pegawai Probet Sri Aman. Ketua Masyarakat atau Ketua Kaum bagi kawasan berkenaan perlu hadir bersama untuk mengesahkan laporan yang dibuat kecuali permohonan dikemukakan melalui peguambela. Semua duti estet yang perlu dibayar hendaklah dijelaskan sebelum Surat Kuasa Pentadbiran atau Surat Probet dapat dikeluarkan.


Tempoh Permohonan

Semua permohonan yang mempunyai dokumen-dokumen sokongan yang sempurna dan tidak dibantahkan oleh mana-mana pihak akan diluluskan dalam tempoh satu minggu bagi permohonan yang dikemukakan di Pejabat Daerah Sri Aman/Lubok Antu dan satu bulan bagi permohonan yang dikemukakan di Pejabat Daerah Kecil Lingga, Pantu dan Engkilili tertakluk kepada kehadiran Pegawai Probet Sri Aman/Lubok Antu.


Nota: Pegawai Probet boleh membatalkan Surat Probet atau Surat Kuasa Pentadbir yang diberi pada bila-bila masa atas sebab-sebab tertentu.