picture

 

Latar Belakang


 

                                               
Waterfront Sri Aman                                         
                                                       

   Bahagian Sri Aman yang dahulu dikenali sebagai Simanggang, terletak di Selatan Negeri Sarawak dengan keluasan 5,499.6 km persegi dan Bandar Simanggang terletak 193km dari Bandaraya Kuching. Populasi penduduk di Bahagian Sri Aman adalah sebanyak 127,216 orang (2021) yang majoritinya terdiri dari kaum Iban, kaum Melayu dan kaum Cina. Bahagian Sri Aman dahulunya hanya mempunyai dua daerah iaitu Daerah Sri Aman dan Daerah Lubok Antu serta tiga buah daerah kecil iaitu Lingga, Pantu dan Engkilili. Kini, dua daerah kecil tersebut telah dinaiktaraf kepada Daerah iaitu Daerah Pantu dan Daerah Lingga berkuatkuasa pada 12 Disember 2021 yang menjadikan terdapat empat buah daerah di Bahagian Sri Aman.

    Bahagian Sri Aman yang terletak di Sungai Batang Lupar ini amat terkenal dengan fenomena Benak yang boleh mencapai ketinggian sehingga dua hingga tiga meter pada waktu air pasang besar. Fenomena ini telah diraikan pada setiap tahun pada Pesta Benak dan juga menjadi acara tahunan rasmi di dalam Kalendar Pelancongan Negeri Sarawak. Sri Aman dihubungkan dengan Lebuhraya Pan Borneo dan mengambil masa dua jam 30 minit dari Bandaraya Kuching. Perkhidmatan Bas Ekspres antara bahagian yang berulang-alik antara Sri Aman, Kuching, Sarikei, Sibu, Bintulu dan Miri turut disediakan bagi memudahkan penduduk dan pelancong tempatan berkunjung ke Sri Aman.