picture

News

 

Perpaduan lebih bernilai berbanding kos Sambutan Perayaan 60 Tahun Sarawak Merdeka – Abdul Karim

Posted on 10 Jul 2023
Source of News: TVS

KUCHING, 7 Julai: Kos Sambutan Perayaan 60 Tahun Sarawak Merdeka tidak wajar dipersoalkan, sebaliknya ia satu cara untuk meraikan perpaduan yang wujud dalam kalangan rakyat Sarawak berbilang kaum dan agama.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata Sarawak berjaya membentuk satu masyarakat yang bersatu padu dan ia juga telah diterjemahkan menerusi pilihan raya.

“Walaupun tahun ini dan tahun depan tidak ada pilihan raya, kita tetap berbelanja kerana semua orang Sarawak perlu meraikan hari itu,” katanya pada sidang media Sambutan Perayaan 60 Tahun Sarawak Merdeka, di pejabatnya di Bangunan Baitulmakmur II, di sini, semalam.

Pilihan Raya Negeri 2021 menyaksikan Gabungan Parti Sarawak (GPS) menang besar, sekali gus menunjukkan sokongan padu dan perpaduan pengundi Sarawak terhadap parti pimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau menjawab soalan pemberita yang meminta beliau mengulas anggaran perbelanjaan untuk acara-acara sepanjang sambutan Hari Sarawak yang berlangsung hingga 19 Ogos 2023.

Menurutnya, apa yang penting ialah rakyat Sarawak perlu meraikan kemerdekaannya ke-60 tahun.

Antara acara utama sempena sambutan itu ialah Konvoi Kembara Merdeka yang membabitkan jelajah dari utara ke selatan negeri ini.

Pada 21 Julai, Majlis Kesyukuran Perdana akan diadakan membabitkan dua badan pengelola iaitu Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) dan Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR).

Pada 22 Julai, akan diadakan acara Perhimpunan dan Perarakan, Majlis Penyampaian Pingat Peringatan Jubli Intan (2023), Majlis Jamuan Negeri dan Konsert Rakyat.

Sambutan 60 Tahun Sarawak Merdeka diteruskan lagi dengan mengadakan Acara Perarakan Kapal Berhias yang bakal disertai 22 kapal berhias pada 29 Julai 2023 di Tebingan Kuching. – TVS