picture

News

 

Konvoi Kembara Sarawak Merdeka tarik lebih 30 ribu pengunjung, jangka 12 ribu lagi di empat lokasi

Posted on 07 Jul 2023
Source of News: TVS

KUCHING, 6 Julai: Konvoi Kembara Sarawak Merdeka berjaya menghimpunkan lebih 30,000 kehadiran pengunjung di lokasi-lokasi perhentian sejak dilancarkan pada 28 Mei lalu.

Menerusi kenyataan yang diedarkan Kementerian Pelancongan, lndustri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak pada sidang media di sini hari ini, angka berkenaan merupakan jumlah pengunjung konvoi yang dikira bermula dari Lawas hingga ke Betong.

Miri mencatatkan kehadiran tertinggi dengan 8,300 orang jumlah pengunjung.

Sementara itu, Limbang dan Sibu masing-masing mencatatkan 4,600 orang pengunjung manakala di Mukah (3,830 orang), Kapit (3,450 orang) dan Bintulu (3,250 orang).

Sarikei pula menerima kehadiran 2,200 orang sementara Betong dimeriahkan dengan 1,575 orang pengunjung.

Majlis pelepasan peserta konvoi disempurnakan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Lawas pada 28 Mei.

Malah, Abang Johari turut berkesempatan menyertai konvoi sejauh 168.3 kilometer iaitu dari Stadium Tertutup Miri ke Naim Street Mall, Bintulu Paragon pada 10 Jun.

Setakat ini lapan bahagian telah selesai dan minggu ini pelepasan peserta konvoi dari Sri Aman pada 8 Julai.

Dalam kenyataan sama, turut dijangkakan penyertaan lebih 3,000 orang pengunjung bagi empat bahagian yang seterusnya iaitu di Sri Aman (8 Julai), Serian (15 Julai), Samarahan (16 Julai) dan Kuching (20 Julai). – TVS