News

 

Jumlah dagangan Sarawak 2022 catat nilai tertinggi baharu – Jabatan Perangkaan

Posted on 02 Aug 2023
Source of News: TVS

KUCHING, 1 Ogos: Jumlah dagangan Sarawak melonjak ke paras tertinggi dalam tempoh sedekad tahun lepas dengan mencatatkan prestasi luar biasa sebanyak RM217.2 bilion, menandakan pertumbuhan memberangsangkan sebanyak 44 peratus.

Menurut laporan Perangkaan Perdagangan Luar Negeri Sarawak 2022 Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), prestasi perdagangan negeri mengekalkan momentum pertumbuhannya pada 2022 dengan eksport, import dan lebihan perdagangan mencapai nilai tertinggi baharu.Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin mengaitkan prestasi signifikan itu disebabkan oleh permintaan luar yang lebih tinggi dan harga komoditi yang kukuh.

“Eksport melonjak 50.3 peratus tahun ke tahun (y-o-y)  kepada RM153.0 bilion, didorong oleh peningkatan eksport domestik yang meningkat sebanyak 51.6 peratus tahun ke tahun kepada RM151.7 bilion,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada masa yang sama, eksport negeri itu juga dirangsang oleh eksport yang lebih tinggi ke Jepun yang meningkat sebanyak 71.3 peratus atau RM14.4 bilion.

China, Semenanjung Malaysia, Republik Korea dan India merupakan lima destinasi utama eksport Sarawak pada 2022.

“Eksport ke China meningkat RM5.8 bilion hasil eksport kukuh gas asli cecair (LNG), manakala eksport ke Semenanjung Malaysia meningkat RM5.7 bilion berikutan eksport petroleum mentah dan pembuatan produk logam yang lebih tinggi,” katanya.

Begitu juga dengan eksport ke Korea yang berkembang sebanyak RM6.7 bilion disebabkan eksport LNG yang lebih tinggi, manakala eksport ke India juga mencatatkan peningkatan sebanyak RM4.7 bilion, disokong oleh permintaan kukuh untuk minyak sawit dan produk berasaskan sawit.

Tiga sektor yang mencatatkan pertumbuhan eksport dua angka ialah hasil galian (+71 peratus), barangan perkilangan (+32.5 peratus) dan produk pertanian (+24.9 peratus).

Pada tahun tersebut, eksport beberapa produk turut mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan, iaitu LNG (RM26.7 bilion); petroleum mentah (RM6.5 bilion); keluaran logam (RM5.3 bilion); minyak sawit dan produk berasaskan sawit (RM4.7 bilion); serta kondensat dan minyak petroleum lain (RM3.0 bilion).

Selari dengan prestasi eksport, import juga mencatatkan satu lagi pencapaian dengan pertumbuhan dua angka sebanyak 30.8 peratus tahun ke tahun kepada RM64.2 bilion.

Jumlah import Sarawak adalah terutamanya dari Semenanjung Malaysia (43.4 peratus, RM4.7 bilion), diikuti oleh China (19 peratus, RM3.8 bilion), Indonesia (5.5 peratus, RM1.6 bilion) dan Singapura (5.3 peratus,  RM1.6 bilion).

Lebih separuh atau 54.3 peratus daripada jumlah import Sarawak adalah untuk barangan perantaraan (RM34.9 bilion), barangan penggunaan (18.5 peratus, RM11.9 bilion) dan barangan modal (13.1 peratus, RM8.4 bilion).

Peningkatan ketara dicatatkan dalam import produk kimia dan kimia yang meningkat sebanyak RM4.3 bilion, diikuti oleh produk petroleum (RM2.8 bilion); jentera, peralatan dan alat ganti (RM1.8 bilion); peralatan pengangkutan (RM1.3 bilion) serta bijih logam dan sekerap logam (RM1.1 bilion). – TVS


Tags: dosmjumlah dagangansarawak