picture

News

 

Pusat Pembangunan Kemahiran Sarawak di Sri Aman bakal beroperasi tahun ini

Posted on 10 Aug 2023
Source of News: TVS

Pengerusi Sarawak Skills, Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz Husain berucap pada Majlis Konvokesyen ke-25 Sarawak Skills dan Kolej Universiti i-CATS hari ini. Foto: UKAS


KUCHING, 8 Ogos: Pusat Pembangunan Kemahiran Sarawak (Sarawak Skills)  di Sri Aman bakal beroperasi tahun ini, kata Pengerusi Sarawak Skills, Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz Husain.

Beliau berkata, pusat tersebut dapat memenuhi permintaan masyarakat setempat terutamanya di kawasan sekitar termasuk Betong dan Lingga.

“Kursus-kursus jangka pendek seperti pemasangan dan penyelenggaran elektrik, pertanian moden dan banyak lagi akan ditawarkan, selain menawarkan program Sijil Kemahiran Malaysia (SKM),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Konvokesyen ke-25 Sarawak Skills dan Kolej Universiti i-CATS di sini, hari ini.

Katanya lagi, Kolej Universiti I-CATS sedang giat merangka kurikulum baharu program-program Ijazah Sarjana dan PhD bagi menambah kepelbagaian bidang yang ditawarkan dan berhasrat mencapai status universiti penuh dalam masa terdekat.

“Antara program-program tersebut adalah Diploma in Early Childhood Care and Education, Foundation in Science, Master of Business Administration (MBA) by Coursework, Doctor of Philosophy in Education, Doctor of Philosophy in Economics and Doctor of Philosophy in Entrepreneurship,” ujarnya.

Pada masa sama, beliau juga mendedahkan Sarawak Skills di Miri akan menambah kapasitinya apabila siap pengubahsuaian blok bangunan yang merupakan bekas pejabat Shell di Miri.

Beliau turut berterima kasih kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak di atas sokongan diberikan untuk fasiliti berkenaan.

“Beberapa program dan kursus baharu yang akan dijalankan adalah Diploma Kemahiran Malaysia Pengurusan Pejabat, Sijil Kemahiran Malaysia Under Water Wielding, Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 3 Digital Grafik dan Sijil Kemahiran Malaysia Pembuatan Pastri,” dedahnya lagi.

Tambah beliau, Sarawak Skills kini juga dalam perancangan untuk membangunkan Advanced Automative Training College (AATC) di Demak Laut, Kuching.

“Bersama rakan industri Sibu Automobile Repaires Association akan membangunkan Pusat Latihan Automotive di Sibu Sarawak,” katanya. -TVS


Tags: beroperasiKolej Universiti I-CATSkonvokesyenpusat kemahiranSarawak Skills