picture

News

 

Eksplorasi Lebuhraya Pan Borneo tinjau kemajuan projek, keselamatan jalan

Posted on 14 Aug 2023
Source of News: TVS

Datuk Amar Douglas Uggah Embas bersama-sama dengan pihak MIPD, Kementerian Kerja Raya, Jabatan Kerja Raya semasa acara Flag-Off Eksplorasi Lebuhraya Pan Borneo. Foto: Febbright James


KUCHING, 14 Ogos: Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan menganjurkan Eksplorasi Lebuhraya Pan Borneo yang bertujuan untuk meninjau perkembangan kemajuan projek tersebut.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas memaklumkan perjalanan jelajah selama dua hari itu akan meninjau sekiranya terdapat penambahbaikan yang perlu dilaksanakan bagi pembinaan projek Pan Borneo itu.

Katanya, kemajuan projek akan dimaklumkan kepada orang ramai setelah penelitian dibuat sepanjang eksplorasi ini selesai dilaksanakan.

“Kita akan memaklumkan kepada orang ramai mengenai kemajuan projek ini kerana ini adalah projek besar. Kita berterima kasih dengan Kerajaan Persekutuan kerana memberikan projek ini yang disifatkan sebagai ‘gamechanger’ untuk rakyat Sarawak.

“Sebagai contoh, saya dari Betong mengambil masa empat jam setengah untuk sampai ke Betong dari Kuching dengan kelajuan memandu biasa. Sekarang, kita mengambil masa tiga jam sahaja, dan kalau lebih lasak boleh sampai di Betong dalam dua jam setengah. Ini yang kita mahu lihat dalam jelajah sepanjang dua hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas acara Flag-Off Eksplorasi Lebuh Raya Pan Borneo di pekarangan letak kereta di pasaraya Farley hari ini.

Datuk Seri Alexander Nanta Linggi turut serta menaiki bas bersempena dengan Eksplorasi Lebuhraya Pan Borneo. Foto: Febbright James

Sementara itu, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi turut memaklumkan tinjauan dilakukan itu juga bagi memastikan kemajuan projek dapat dilaksanakan dengan baik dan mengikut perancangan yang ditetapkan.

“Usaha ini adalah memastikan laluan Pan Borneo dalam keadaan terbaik, seperti yang kita sedia maklum, Yang di-Pertuan Agong akan mengadakan jelajah Pan Borneo bermula dari Sabah ke Telok Melano pada bulan September.

“Kita akan menitikberatkan faktor keselamatan jalan dan keselesaan kepada pengguna,” ujarnya.

Dalam pada itu, eksplorasi ini diadakan bermula 14 Ogos yang merangkumi perjalanan dari Kuching ke Sibu, manakala pada 15 Ogos jelajah akan diteruskan ke Miri yang menjadi destinasi terakhir.

Eksplorasi ini disertai oleh 40 peserta yang terdiri daripada pihak Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Jabatan Kerja Raya (JKR).- TVS

 

Tags: Dato Sri Alexander Nanta Linggidouglas uggah embasLebuh Raya Pan Borneo