picture

News

 

Kejayaan Imran rangkul juara dunia, kebanggaan Sarawak

Posted on 16 Aug 2023
Source of News: TVS

Ketibaan Imran di Lapangan Terbang Sibu disambut meriah oleh ADUN Bukit Assek Chieng Jin Ek (empat kanan), bapa Imran, Iskandar Bujang (lima kiri), guru-guru, keluarga dan rakan-rakan. Foto: TVS



SIBU, 15 Ogos: Kejayaan pemain biola berasal dari Sibu, Sarawak, Imran Azim Iskandar yang mengharumkan nama negara pada  Kejohanan Seni Persembahan Dunia (WCOPA) di Anaheim, California, Amerika Syarikat baru-baru ini merupakan kebanggaan rakyat Sarawak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek, Joseph Chieng Jin Ek berkata, juara dunia itu harus menjadi contoh dan inspirasi bagi anak muda yang lain di negeri ini terutamanya di Sibu.

Menurutnya Imran bukan sahaja telah muncul sebagai juara dunia dalam kategori klasik tetapi juga meraih pingat perak dalam kategori karya kontemporari dan asli.

Pelajar Tingkatan 5 dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Assek tersebut kata Chieng turut meraih pingat gangsa untuk kategori jazz dan terbuka di kejohanan bertaraf dunia tersebut.

“Melalui kejayaan ini kita dapat lihat, sebenarnya anak Sarawak kita boleh menjadi juara dunia selagi kita ada keinginan. Jika kita sanggup belajar dan berlatih bersungguh-sungguh, kita boleh berjaya.

“Kejayaan Imran adalah contoh ikutan bagi anak-anak muda kita,” katanya ketika pemberita selepas menyambut ketibaan Imran di Lapangan Terbang Sibu bersama guru sekolah dan keluarga Imran pada Isnin.

Chieng turut berharap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (MCTP) dapat menyediakan geran yang boleh membantu dalam melatih lebih ramai penggiat seni bagi mengikut jejak langkah Imran.

Jelas beliau, dengan cara ini Sarawak akan dapat melahirkan lebih ramai penggiat seni yang berpotensi dan mampu meletakkan nama Sarawak di peringkat antarabangsa.

“Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (MCTP) mempunyai banyak geran untuk kami dapat membantu penggiat seni.

“Agensi berkaitan boleh memohon geran daripada kementerian supaya kita dapat melatih lebih ramai penggiat seni yang berpotensi. Melalui ini kita boleh meletakkan nama Sarawak di peringkat antarabangsa,” katanya lagi.

Tambahnya lagi, beliau juga akan menyampaikan insentif daripada pihaknya kepada Imran memandangkan Imran bersekolah di salah satu sekolah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Assek.

Chieng juga berharap kementerian berkaitan turut memberi insentif kepada Imran untuk memberi motivasi dan penghargaan di atas pencapaiannya.-TVS


Tags: Imran Azim Iskandarjuarakebangganpencapaiansarawak