picture

News

 

Lebuhraya Pan Borneo siap sepenuhnya Disember tahun ini

Posted on 16 Aug 2023
Source of News: TVS

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, mendengar taklimat daripada pihak kontraktor. Foto: TVS


MIRI, 15 Ogos: Lebuhraya Pan Borneo setakat ini telah siap sehingga 96.6 peratus dan dijangka akan siap sepenuhnya pada bulan Disember tahun ini.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, Lebuhraya Pan Borneo ini akan memberi manfaat kepada rakyat Sarawak dari aspek gaya hidup, perjalanan dan sosioekonomi mereka.

“Secara keseluruhan, apabila siapnya Lebuhraya Pan Borneo ini akan membawa perubahan kepada rakyat Sarawak dari segi sosioekonomi, kehidupan dan perjalanan kita. Kita sangat bertuah.

“Saya ingin berterima kasih kepada kerajaan dan kontraktor yang telah berjaya menyiapkan semasa waktu yang mencabar terutamanya semasa pandemik COVID-19 melanda. Sekarang kita telah dapat melihat perkembangan Pan Borneo,” katanya semasa lawatan tapak ke Projek Pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sarawak bersempena dengan Jelajah Eksplorasi Lebuhraya Pan Borneo Sarawak di Jejambat Bekenu hari ini.

Tambah beliau yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, pihak mereka telah diberi taklimat mengenai strategi untuk menyiapkan projek mengikut jadual yang ditetapkan dan melihat kawasan yang perlu dibaiki untuk persediaan kedatangan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ke Lebuhraya Pan Borneo bulan hadapan.

“Kita telah pergi seluruh Lebuhraya Pan Borneo dan ia memang pengalaman menarik. Kita nampak apa yang telah siap dan belum siap. Kita telah diberi taklimat mengenai strategi untuk memastikan yang belum siap akan disiapkan mengikut jadual yang mereka tentukan.

“Pada masa sama kita melihat mana-mana tempat yang perlu dibaiki. Kita faham Yang di-Pertuan Agong akan ke Lebuhraya Pan Borneo dijangka pada bulan hadapan. Jadi kita hendak memastikan kawasan yang perlu dibaiki akan dinaik taraf,” katanya lagi.

Setakat ini kawasan yangi belum siap sepenuhnya ialah Lambir, Sri Aman, Bukit Begunan, Lupong dan Sarikei.

Untuk rekod, Jelajah Eksplorasi Lebuhraya Pan Borneo Sarawak telah dilancarkan pada di Kuching semalam dan berakhir di Miri pada hari ini.-TVS


Tags: Douglas uggahpan borneosarawaksiap sepenuhnya