picture

News

 

Kembara Kenali Borneo Beri Peluang Kepada Agong Dan Permaisuri Santuni Rakyat Sarawak

Posted on 07 Sep 2023
Source of News: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS)

KUCHING: Kembara Kenali Borneo di Sarawak yang bermula pada 7 September ini akan memberi peluang kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al Marhum Sultan Ahmad Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah untuk merasai pengalaman keunikan Sarawak yang terkenal dengan pelbagai warisan, kebudayaan dan keagamaan yang tersendiri.

Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, kerajaan Sarawak telah mengatur pelbagai program untuk Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong bagi mendekati serta menyantuni rakyat Sarawak yang terdiri daripada pelbagai kumpulan etnik.

Menurut beliau, Baginda berdua juga berpeluang mendekati semua etnik di Sarawak seperti Melayu, Iban, Bidayuh, Cina, Orang Ulu termasuk Kedayan dan Penan semasa Kembara Kenali Borneo bermula dari Lawas sehingga ke Telok Melano.

“Ini adalah peluang terbaik untuk Sarawak mempamerkan kepelbagaian kaumnya yang kaya dan juga untuk mempamerkan Sarawak sebagai model dari sudut toleransi keagamaan dan keharmonian kaum di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Tuan Yang Terutama (TYT) Pemangku Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar di Astana Negeri di sini pada Selasa.

Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Lawatan Yang di-Pertuan Agong ke Sarawak menambah, sepanjang perjalanan Kembara Kenali Borneo di lapan daerah di Sarawak, Baginda juga berpeluang bertemu dengan rakyat dari segenap lapisan masyarakat secara dekat dan akan merasai sendiri pengalaman hidup mereka.

“Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga berpeluang melihat sendiri keperluan asas penduduk luar bandar seperti jalan raya, jambatan, jeti dan gerai tepi jalan,” katanya.

Dalam pada itu, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki memaklumkan, kerajaan Sarawak juga akan mengadakan beberapa program rasmi untuk Baginda sepanjang berada di Sarawak.

“Namun begitu, kunjungan Baginda berdua kali ini hanyalah ‘santai’ bermakna tidak begitu rasmi, kerana ang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong ingin mendekati rakyat biasa,” katanya.

Sementara itu, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar berharap agar pemimpin-pemimpin persekutuan lain mencontohi apa yang ditunjukkan oleh Baginda yang menziarahi rakyat di peringkat akar umbi.

“Bagi saya, apa yang dilakukan oleh Baginda sekarang mesti dicontohi oleh pemimpin tertinggi persekutuan yang lain untuk melihat keperluan asas rakyat di Sarawak,” tambahnya.

Kembara Kenali Borneo yang bermula dari Tawau, Sabah pada 3 September lepas dan berakhir di Telok Melano, Sarawak pada 13 September depan akan merakamkan detik bersejarah dan pengalaman unik menerusi pelbagai program yang kaya dengan adat, budaya dan kraftangan suku kaum rakyat di kedua-dua negeri.-EDISI UKAS