News

 

Walau kecewa tidak dapat bertemu Agong, masyarakat Simanggang faham

Posted on 13 Sep 2023
Source of News: TVS

Joshua Wilson Nabi, 66, (tengah) bersama dua orang rakannya yang berpakaian pahlawan kaum Iban Sarawak menunggu sejak 7.30 pagi untuk menyambut ketibaan konvoi Kembara Kenali Borneo Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Sri Aman, hari ini. Foto Bernama.


SIMANGGANG, 12 Sept: Walaupun kecewa tidak dapat berjumpa dengan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, masyarakat di bandar ini faham dengan kekangan masa dihadapi Seri Paduka berdua.

Tinjauan Bernama mendapati Masjid Bandar Sri Aman dan Kubu Alice di sini, yang sepatutnya menjadi destinasi persinggahan konvoi Kembara Kenali Borneo, dipenuhi rakyat yang menunggu keberangkatan pasangan diraja itu.

Suasana meriah bertukar sedih apabila pengacara majlis mengumumkan Seri Paduka berdua tidak dapat berangkat ke bandar itu, sebaliknya akan meneruskan perjalanan ke Kuching kerana kesuntukan masa.

Bekas tentera Joshua Wilson Nabi, 66, yang menunggu di kawasan itu sejak 7.30 pagi dengan lengkap berbusana tradisional Iban berkata walau sedikit kecewa, beliau faham Al-Sultan Abdullah mungkin kepenatan kerana telah memandu jauh.

“Harapan kita semoga lain kali walaupun sewaktu tidak menjadi Agong lagi, Tuanku boleh datang ke sini untuk bermalam mungkin semasa ada keraian seperti pesta Benak (fenomena air pasang yang diraikan setiap tahun di Simanggang).

“Kita juga faham, Sarawak ini bukan sebuah negeri yang kecil, ia sama besar dengan Semenanjung dan jarak dari satu tempat ke tempat lain memang jauh,” katanya kepada Bernama.

Seri Paduka dan rombongan akan meneruskan perjalanan ke bandar raya Kuching dan dijadual berangkat ke majlis penutup program serta Santapan Malam Kerajaan Negeri pada malam ini.

Sementara itu, Halimah Edin, 54, yang keluar rumah seawal 9 pagi tadi berkata semangat Al-Sultan Abdullah yang berkenan memandu sendiri kenderaan sepanjang kembara itu patut diberi pujian.

“Kita faham Tuanku juga telah memandu jauh dan mungkin Tuanku penat… kasihan dengan Tuanku, memang hebat kerana memandu sampai ke Kuching,” katanya.

Esok, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah bakal melengkapkan Kembara Kenali Borneo bagi Sarawak yang merangkumi jarak sejauh 1,194 kilometer (km) dengan membuat perjalanan ke Telok Melano, tapak permulaan bagi Lebuhraya Pan Borneo Sarawak, sebelum kembali ke Kuching dan berangkat pulang ke Kuala Lumpur.

Kembara Kenali Borneo dari 3 hingga 13 Sept bermula di Tawau, Sabah dan berakhir di Telok Melano, Sarawak, melibatkan perjalanan sejauh 2,154km menelusuri Lebuhraya Pan Borneo yang menghubungkan Sabah, Sarawak serta Brunei. -TVS


Tags: #simanggangAgongKembara Kenali Borneo