News

 

Kembara Kenali Borneo zahir semangat perpaduan rakyat – Abang Johari

Posted on 13 Sep 2023
Source of News: TVS

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar dan Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada Majlis Penutupan dan Santapan Malam sempena Kembara Kenali Borneo di Kuching, malam tadi. Foto: UKAS


KUCHING, 13 Sept: Kembara Kenali Borneo Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah merupakan contoh perpaduan sesama insan seharusnya tidak dihadkan oleh perbezaan agama, budaya atau bangsa.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari berkata, perkara ini terbukti apabila Seri Paduka Baginda berdua tidak berasa segan untuk mencemar duli dalam pelbagai aktiviti dianjurkan oleh rakyat untuk menyerikan sambutan ketibaan rombongan kembara di Sarawak dan Sabah itu.

“Rakyat Sarawak berasa gembira kerana mereka tahu mereka mempunyai pasangan diraja yang begitu senang mendampingi rakyat.

“Jelas kelihatan sambutan rakyat jelata di sepanjang laluan kembara sungguh luar biasa,” katanya berucap pada Majlis Penutupan dan Santapan Malam Bersama Kerajaan Negeri Sarawak sempena Kembara Kenali Borneo, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Pemangku Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Dalam pada itu, Abang Johari berkata, Sarawak amat menghormati institusi raja walaupun negeri ini tidak mengamalkan sistem kesultanan seperti negeri-negeri di Semenanjung Malaysia.

“Malaysia dibentuk berasaskan sistem Raja Berpelembagaan dan jelas sekali keberadaan baginda berdua selama 11 hari ini menunjukkan bahawa Raja Berperlembagaan mempunyai peranan yang unik sebagai payung perpaduan, kemakmuran dan kestabilan negara ini,” katanya.

Kembara Kenali Borneo akan meneruskan pengembaraan terakhirnya ke Telok Melano, hari ini, sebelum berangkat pulang ke Istana Negara pada sebelah petang. – TVS