TASEK GELUGOR, 30 Sept: Kementerian Pembangunan Desa dan Wilayah (KKDW) sedang melaksanakan penilaian tanah bagi kawasan Kota Belud, Sabah dan Sri Aman, Sarawak bagi menentukan kesesuaian untuk penanaman padi berskala besar.
Timbalan Menterinya, Datuk Rubiah Wang berkata, proses awal itu turut mengenal pasti pemain industri yang akan terlibat dalam usaha menjadikan kawasan itu sebagai jelapang padi kedua negara.
“Proses pra (awal) itu selepas kita mengenal pasti kawasan di Kota Belud dan kawasan Stumbin di Sri Aman bagi membangunkan tanaman padi melebihi 5,000 hektar.
“Baru-baru ini kita (juga) telah dimohon oleh pihak Menteri (KKDW) untuk menyegerakan banyak lagi tindakan dalam usaha meningkatkan kawasan tanaman padi dan pengeluaran beras negara,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja di Taman Agroteknologi Pertanian Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) di Ara Kuda di sini, pada Sabtu.
Turut hadir, Pengarah Pertanian Negeri Pulau Pinang, Mohd Muhaimin Ibrahim dan Pengurus Besar PERDA, Mohd Asri Baharum@Harun.
Pada Mac lalu, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri KKDW, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika menyampaikan Penggulungan Perbahasan Belanjawan 2023 Peringkat Dasar di Dewan Rakyat menjelaskan, kerajaaan Sarawak dan Sabah bersetuju secara dasar untuk membangunkan estet padi berskala besar di dua wilayah berkenaan.
Kerajaan Persekutuan akan melaksanakan estet padi tersebut tanpa menghilangkan hak milik tanah individu dan kerajaan negeri.
Dalam pada itu, Rubiah menambah, KKDW tidak hanya memberi tumpuan kepada pengeluaran beras dalam membantu menstabilkan dan meningkatkan keterjaminan makanan negara, sebaliknya turut merangkumi pertanian lain seperti kelapa dan sayuran.
“Ia dibuat menerusi agensi-agensi kita seperti Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH), Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) serta PERDA yang akan membangunkan dan menyokong keterjaminan makanan,” katanya lagi. – TVS