Berita

 

Sarawak Tarik Pelabur Untuk Pacu Pembangunan

Disiarkan pada 08 Aug 2024
Sumber Berita: UKAS



LUBOK ANTU: Sarawak merupakan negeri yang mampu menarik pelbagai pelabur untuk memacu pembangunan negeri ini.

 

Ahli Parlimen Lubok Antu Roy Angau Gingkoi berkata, Kerajaan Sarawak berusaha mengukuhkan industri yang dikehendaki dan diperlukan oleh pelabur bagi memacu pembangunan.

 

“Kerajaan Sarawak sedang membangunkan industri tenaga boleh diperbaharui seperti projek solar terapung dan hidrogen di Empangan Hidro Batang Ai,” jelasnya.

 

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Program WAIFM Datai Nemuai bersama Jabatan Pertanian Sarawak dan Pusat Khidmat Lubok Antu di Rumah Francis James Bada di sini pada Sabtu.

 

Katanya, Daerah Lubok Antu juga berjiran dengan Indonesia yang menjadi pintu antarabangsa dan mampu meningkatkan ekonomi penduduk setempat melalui kerjasama yang erat.

 

Dalam majlis sama, Roy Angau menyampaikan cek Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) sebanyak RM100,000 kepada rumah panjang di kawasan Skarok bagi menaik taraf prasarana dan RM80,000 kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Skarok untuk projek lampu jalan solar.

 

Beliau juga menyampaikan cek Projek Kecil Luar Bandar (MRP) sebanyak RM20,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Skarok, RM10,000 kepada Gerempung Indu Skarok dan RM5,000 untuk menaik taraf Dewan Pemanca Manau di Batang Ai.

 

Turut hadir ialah Setiausaha Politik kepada Timbalan Perdana Menteri Mikai Mandau, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Kua Jack Seng, wakil Pengarah Jabatan Pertanian Sarawak Chadom Lawan, Pemangku Pegawai Daerah Lubok Antu Akoi Ejau, Ketua Polis Daerah IPD Lubok Antu DSP Victor Ripon dan Ketua Penolong Pengarah Seksyen Radio RTM Sarawak Marrill Chunggat. -EDISI UKAS