SIMANGGANG: Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Francis Harden Hollis telah melakukan tinjauan ke beberapa tapak projek di sini pada Sabtu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang itu telah melawat tapak projek gelanggang futsal di Taman Harmoni Sri Aman yang dijangka siap mendahului jadual memandangkan keadaan fizikal projek telah memasuki fasa akhir manakala tempoh siap adalah pada 21 Disember 2024.
Lokasi kedua tinjauan ialah tapak projek naik taraf gelanggang futsal di Kampung Muhibbah yang telah disiapkan sepenuhnya dan menunggu penyerahan kepada pihak yang dipertanggungjawabkan.
Lokasi seterusnya adalah tapak projek jambatan baharu untuk menyeberangi Sungai Undop di Kampung Beleti di bawah Agensi Pembangunan Sri Aman (SADA) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Sri Aman sebagai agensi pelaksana.
Projek sepanjang 70 meter dan 4 meter lebar itu bernilai RM4.2 juta bakal dibina dalam tempoh 12 bulan, bermula pada 12 Januari 2024 hingga 11 Januari 2025.
Terdahulu, Datuk Francis Harden telah menghadiri program gotong royong anjuran Pergerakan Pemuda Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) di Kampung Temudok Baroh di sini.
Program gotong royong itu bertujuan membersihkan laluan ke kawasan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) sebagai tanggungjawab sosial parti kepada rakyat yang memerlukan sebagai usaha ikhlas daripada ahli parti disamping membudayakan persekitaran yang bersih. -EDISI UKAS