News

 

UKAS Jentera Utama Sampaikan Maklumat Sahih Kerajaan Kepada Rakyat

Posted on 13 Aug 2024
Source of News: UKAS

LINGGA:
Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) menjadi jentera utama kerajaan untuk menyampaikan maklumat mengenai inisiatif dan dasar kerajaan Sarawak kepada rakyat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor berkata, UKAS sebagai tulang belakang dalam sistem penyebaran maklumat tepat dan sahih, memainkan peranan penting untuk menyalurkan maklumat yang sahih dan tepat mengenai dasar serta inisiatif kerajaan Sarawak melalui rangkaian media sosial ini bagi menepis khabar angin, berita palsu serta telah menjadi rujukan rakan-rakan media yang lain.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis perasmian Hari Bersama Pelanggan anjuran UKAS yang berlangsung di Dewan Nangkai, Lingga pada Sabtu.

Dalam program tersebut, terdapat beberapa agensi yang menjadi pemangkin kepada penyebaran maklumat ini termasuklah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Pejabat Daerah Lingga, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, Lembaga Pembangunan Sri Aman (SADA), Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi (KUTS), Unit Digitalisasi Perkhidmatan Awam dan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak.

Menjelas lanjut, Dayang Noorazah memberitahu, program seumpama ini dapat menjadi jambatan kepada sistem penyampaian kerajaan yang berkesan dengan menyajikan masyarakat dengan dasar dan inisiatif kerajaan yang tepat dan sahih.

Beliau juga menyeru kepada masyarakat yang hadir supaya dapat memanfaatkan maklumat yang mereka perolehi untuk merancang hala tuju seterusnya. -EDISI UKAS