News

 

SUKMA XXI: Frederick Xian Mara ke Separuh Akhir Tinju

Posted on 20 Aug 2024
Source of News: UKAS


SRI AMAN: Petinju Sarawak, Frederick Xian Bartholomew Albern, menyertai rakan sepasukan lain mara ke separuh akhir kategori 57kg di Sukan Malaysia (SUKMA) XXI yang semakin rancak berlangsung di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Sri Aman.

Ia selepas kejayaan beliau menumpaskan wakil Wilayah Persekutuan, Muhammad Haikal Hakim dalam aksi pada Isnin.

Bagi kategori 51kg, Peter Nyanggum Mancha terpaksa akur apabila tewas kepada pencabarnya dari Selangor, Mohamad Irfan Haikal.

Sementara itu, dalam kategori 63.5kg, Wan Dhia Danish Muhammad Reza ditundukkan oleh Syed Muhammad Hanafi Syed Affindi dari Perak dalam perlawanan yang sengit.

Dalam perlawanan lain, Marcos Robert tidak berjaya menandingi kekuatan pencabarnya dari Sabah, Jonathan Jhon dalam kategori 71kg, manakala Syahrul Wafie Khan Amran Khan tewas dalam pertarungan dengan petinju Pahang, Muhamad Hazim Sahar Azmi.

Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan turut hadir di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Sri Aman pada Isnin untuk menyaksikan pertarungan yang penuh aksi ini.

Beliau memaklumkan bahawa seramai 11 atlet Sarawak telah mara ke peringkat separuh akhir, membuktikan semangat juang mereka untuk memburu pingat emas bagi Sarawak walaupun berdepan dengan saingan yang sengit.

Kehadiran bintang sensasi tinju Sarawak, Daeloniel McDelon Bong atau lebih dikenali sebagai Kilat Boy semakin menyuntik semangat barisan atlet Sarawak untuk beraksi dengan lebih cemerlang.

Separuh akhir bagi acara tinju akan berlangsung pada Rabu ini. – EDISI UKAS