Utamakan Sri Aman sebagai lokasi kunjungan syarikat luar negara
Disiarkan pada 02 Sep 2024
Sumber Berita: TVS
SRI AMAN, 30 Ogos: Kebun lada di Bahagian Sri Aman diharap diberi keutamaan sebagai lokasi kunjungan syarikat luar negara.
Perkara tersebut mengambil kira Bahagian Sri Aman sebagai salah sebuah lokasi penyumbang hasil lada berkualiti di Sarawak.
Ahli Parlimen Sri Aman, Dato’ Sri Doris Sophia Brodi berkata, sekiranya ia boleh direalisasikan oleh Lembaga Lada Malaysia (LADA), maka ia akan memberi manfaat kepada pekebun lada sekali gus memperkenalkan Sri Aman ke pesada dunia.
“Dengan kesempatan ini juga dengan menggunakan kapatisi saya sebagai Ahli Parlimen Sri Aman, saya berharap Lembaga Lada Malaysia dapat mempertimbangkan kebun kebun di Bahagian Sri Aman sebagai lokasi kunjungan syarikat luar negara.
“Perkara tersebut mampu memperkenalkan Sri Aman ke mata dunia,” katanya.
Beliau berucap semasa Program Pemerkasaan Penggiat Industri Lada di The Culture Centre di Sri Aman pada Jumaat.
Tambahnya, pada masa ini terdapat beberapa rumah panjang di Bahagian Sri Aman turut dijadikan sebagai lokasi perintis projek bagi pengeluaran lada premium.
Jelasnya, harga jualan lada premium keluaran Bahagian Sri Aman mampu mencecah hingga RM60 sekilogram pada masa ini.
“Malah saya difahamkan terdapat beberapa rumah panjang di Bahagian Sri Aman turut dijadikan sebagai lokasi perintis bahagian projek bagi pengeluaran lada premium atau kita panggil PPLP yang kini sedang giat dilaksanakan oleh MPB,” ujarnya.-TVS