News

 

Premier Sarawak rasmi Galeri Rumah Sri Aman hujung bulan ini

Posted on 25 Sep 2023
Source of News: TVS

Residen Bahagian Sri Aman merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Pesta Benak 2023, Abang Mohamad Porkan Abang Budiman


KUCHING, 22 Sept: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dijangka akan merasmikan Rumah Sri Aman pada hujung September ini.

Residen Bahagian Sri Aman merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Pesta Benak 2023, Abang Mohamad Porkan Abang Budiman berkata, perasmian tersebut seiring dengan memperingati peristiwa Deklarasi Keamanan (Deklarasi Sri Aman) antara kerajaan dan komunis yang ditandatangani pada 21 Oktober 1973.

“Sekarang sudah genap 50 tahun perjanjian itu , di mana Simanggang bertukar kepada Sri Aman dalam perjanjian damai kerajaan negeri kita dengan pihak komunis pada 50 tahun lepas. Galeri Rumah Sri Aman adalah sangat bermakna yang dilancarkan oleh Premier Sarawak kelak,” katanya katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak Datuk patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, di Wisma bapa Malaysia, di sini, hari ini.

Terdahulu, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, transformasi Rumah Rehat Sri Aman kepada muzium itu akan menjadi produk pelancongan terbaharu untuk bandar Simanggang.

Muzium itu kata Abdul Karim, antara lain akan memaparkan bagaimana peritnya kehidupan semasa sebelum Deklarasi Sri Aman dan bagaimana nama bahagian Simanggang ditukar kepada bahagian Sri Aman untuk melambangkan keamanan atau ‘aman’ dalam bahasa Melayu.

Abdul Karim juga percaya dengan penubuhan muzium baharu itu, generasi muda akan lebih memahami sejarah dan pada masa yang sama menjadi tarikan pelancong terkini di Simanggang.