News

 

Kerjasama Media Penting Bina Naratif Positif Pembangunan Sarawak

Posted on 13 Aug 2025
Source of News: UKAS
SRI AMAN: Peranan media sebagai wadah utama penyampaian dasar Kerajaan Sarawak semakin penting ketika negeri ini menuju status maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030 melalui Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).

Pengarah Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Awang Putrayusrie Awang Redzuan berkata, dalam era digital yang dibanjiri maklumat serta berita palsu, media rasmi seperti UKAS, Jabatan Penerangan Malaysia dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) memikul tanggungjawab kritikal sebagai penjaga integriti serta rakan strategik kerajaan dalam berinteraksi dengan masyarakat.

“Media bukan sekadar pemerhati dalam perjalanan pembangunan negeri, sebaliknya rakan strategik yang memainkan peranan penting dalam memelihara demokrasi dan membentuk kefahaman rakyat terhadap isu pembangunan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Sesi Libat Urus Bersama Media Sarawak dan Rakan Strategik (Media Sosial) di Pejabat UKAS Bahagian Sri Aman, Wisma SADA, semalam.

Awang Putrayusrie menegaskan, media bukan sahaja menjadi saluran penyebaran maklumat, malah turut membina imej positif dan reputasi negeri melalui liputan berita serta kandungan kreatif. Sesi libat urus seperti ini, ujarnya, berperanan mengeratkan hubungan antara media dan agensi pembangunan, menggalakkan dialog terbuka, perkongsian ilmu dan penglibatan strategik.

“Kerjasama erat dengan media akan mewujudkan masyarakat yang lebih bermaklumat dan berhubung,” tambahnya.

Menurut beliau, UKAS mengamalkan pendekatan terbuka terhadap pandangan, cadangan dan aduan orang awam bagi meningkatkan kualiti penyampaian maklumat di Sarawak. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada media dan rakan strategik atas sokongan berterusan menyampaikan maklumat yang tepat, bertanggungjawab dan berlandaskan fakta walaupun UKAS hanya ditubuhkan pada 2018.

Sementara itu, Residen Bahagian Sri Aman, Mahra Salleh berkata, media berperanan penting dalam mengubah persepsi “Sri Aman Bandar Tidur” yang pernah dilabelkan sebelum ini.

“Dahulu, Sri Aman dilihat kurang menonjol kerana kurangnya publisiti mengenai potensi dan pembangunan setempat. Namun kini, Sri Aman pesat membangun dengan pelbagai projek infrastruktur, ekonomi dan sosial selaras aspirasi PCDS 2030.

Saya menyeru media untuk terus memaparkan kejayaan, peluang ekonomi dan kisah kejayaan masyarakat tempatan supaya persepsi lama diganti dengan naratif yang positif dan progresif,” katanya.

Turut hadir ialah Residen Bahagian Sri Aman, Mahra Salleh, Pegawai UKAS Bahagian Sri Aman, Zaidil Ripin, Pegawai Penerangan Daerah Sri Aman, Safariza Bujang, Pegawai Penerangan Daerah Lubok Antu, Juing Ulie, Pegawai Pengurus RTM Sri Aman, Senah Ukong serta penggiat media dari pelbagai agensi.

Sesi tersebut diharap menjadi platform berterusan untuk memperkukuh kerjasama strategik, menyampaikan mesej yang tepat serta membina hubungan dua hala yang memberi manfaat kepada semua pihak.-EDISI UKAS