Berita

 

Program Meet & Greet Kilat Boy Road Tour.

Disiarkan pada 12 Sep 2025
Sumber Berita: Facebook Pejabat Penerangan Daerah Sri Aman
SRI AMAN, 11 Sept – Jaguh tinju negara, Daeloniel Mcdelon Bong@Muhammad Ashraf, atau lebih dikenali sebagai Kilat Boy, bersama pasukan pengurusan beliau telah mengadakan kunjungan khas ke Pejabat Residen Bahagian Sri Aman pada petang ini, sebagai sebahagian daripada siri Program Meet & Greet Kilat Boy Road Tour.
Pertemuan tersebut disambut oleh Residen Bahagian Sri Aman, Mahra Salleh dan kakitangan Pejabat Residen Bahagian Sri Aman serta berlangsung dalam suasana mesra serta penuh semangat kesukanan.
Dalam perbincangan itu, kedua-dua pihak bersetuju untuk menjalin kerjasama strategik bagi melaksanakan beberapa inisiatif termasuk promosi sukan tinju di peringkat komuniti, kempen kesedaran anti buli dalam kalangan pelajar sekolah, serta penganjuran perlawanan persahabatan tinju di Sri Aman pada masa akan datang.
Mahra turut mengumumkan bahawa pihaknya bersetuju memberi peluang kepada Kilat Boy dan pasukannya untuk menjadikan Pesta Benak 2026 sebagai platform rasmi bagi mempromosikan sukan tinju, sekali gus memberi pendedahan lebih luas kepada masyarakat setempat.
“Kehadiran Kilat Boy dengan membawa nama besar dalam arena tinju Asia merupakan satu inspirasi kepada anak muda Sri Aman. Kami percaya usaha ini akan membantu melahirkan lebih ramai bakat baharu, selain menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Dalam kunjungan itu, Kilat Boy turut membawa bersama tiga tali pinggang kejuaraan antarabangsa yang pernah dimenanginya, iaitu WBC Asia Continental, WBC Asia Silver, dan ABF Asia Continental, sebagai simbol kejayaan dan motivasi kepada generasi muda.
Program ini adalah sebahagian daripada siri jelajah Kilat Boy Road Tour yang berlangsung di Sri Aman pada 11 September sebelum diteruskan ke Betong pada 12 September 2025.