Berita

 

Jelajah Jalinan Borneo RMK13 singgah di Sri Aman esok

Disiarkan pada 11 Sep 2025
Sumber Berita: TVS

KUCHING, 11 Sept: Kementerian Ekonomi akan meneruskan Jelajah Jalinan Borneo RMK13 di lokasi keduanya iaitu di Sri Aman pada Jumaat ini.

Timbalan Menteri Ekonomi, Dato Hanifah Hajar Taib berkata, program berkenaan bertujuan mendekatkan rakyat Borneo kepada dasar serta perancangan pembangunan kerajaan Persekutuan di bawah Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13).

Menurutnya, program sehari itu akan dimulakan dengan Sesi Libat Urus (SLU) pada sebelah pagi, melibatkan pakar, pemain industri, NGO, organisasi masyarakat sivil (CSO) serta masyarakat awam bagi mendapatkan maklum balas terus daripada akar umbi.

“SLU ini bertujuan mengenal pasti keperluan, cabaran dan aspirasi rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, pada sebelah petang pula, sesi bersama pentadbiran negeri, bahagian dan daerah di sekitar Sri Aman akan diadakan untuk membincangkan sinergi pembangunan serta pendekatan pelaksanaan dasar yang lebih efektif di peringkat tempatan.

“Program ini bukan sahaja menjelaskan intipati RMK13 malah menjadi pendekatan proaktif untuk merapatkan jurang rakyat dengan kerajaan, memastikan suara rakyat Sabah dan Sarawak didengari dalam perancangan pembangunan nasional.

“Besar harapan saya agar kementerian dapat melihat, mendengar dan memahami sendiri keperluan rakyat, sekali gus menambah baik perkhidmatan serta memperkasakan dasar kerajaan demi kesejahteraan masyarakat,” ujarnya.-TVS