LUBOK ANTU, 12 Sept: Timbalan Menteri Ekonomi, Dato Hanifah Hajar Taib mengadakan lawatan kerja ke Batang Ai pada Khamis bagi meninjau pelaksanaan program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) INTAN, khususnya dalam sektor akuakultur.
Beliau melawat kawasan penternakan ikan tilapia yang dikendalikan Borneo Eco Fish Sdn Bhd, melibatkan keseluruhan rantaian nilai termasuk pembiakan, pembesaran, pemprosesan, pembungkusan, pembekuan serta pemasaran.
Hanifah memuji usaha syarikat itu yang bukan sahaja menyokong pelaksanaan IPR INTAN, malah memperkukuh industri perikanan tempatan serta membuka peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.
“Setakat ini, seramai 20 peserta telah memperoleh pendapatan tetap melalui program ini,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Dalam sesi bersama peserta, beliau turut meneliti beberapa cabaran dihadapi termasuk isu pemasaran, kos operasi dan kemudahan prasarana.
Menurutnya, kementerian akan meneliti isu berkenaan bagi menambah baik pelaksanaan program supaya manfaatnya dapat diperluas kepada lebih ramai rakyat.
Program itu selaras dengan agenda kerajaan memperkukuh Ekonomi Biru melalui sektor perikanan dan maritim yang mampan, sekali gus bukan sahaja menjana pendapatan komuniti, malah menyokong kedudukan Malaysia sebagai hab maritim serantau yang kompetitif dan lestari.