SRI AMAN, 8 Sep (MalaysiaAktif) – Acara Benak Road Trail Run 2025 secara rasmi membuka tirai Pesta Benak 2025 apabila 1,156 peserta menyertai larian yang berlangsung meriah di Waterfront Sri Aman, di sini pagi semalam.
Acara yang bertemakan “You Bring The Shoes, We Bring The Vibes” itu menampilkan tiga kategori iaitu 5 kilometer (km) Si Juara Cilik, 5 km Fun Run dan 10 km Race, sekali gus menambahkan lagi kemeriahan sambutan pesta ikonik Sri Aman tahun ini.
Mahra (kiri) menyampaikan hadiah kepada pemenang bagi kategori 10 km lelaki veteran.
Residen Bahagian Sri Aman Mahra Salleh berkata, penganjuran Benak Road Trail Run 2025 bukan sahaja berjaya menarik penyertaan orang ramai malah menyerlahkan lagi wajah pembangunan pesat yang sedang berlangsung di Sri Aman.
“Peserta melalui laluan yang melibatkan kawasan dalam proses pembangunan dan pembinaan seperti Projek Jalan Utama Kedua (Second Trunk Road, STR) Pakej B2A yang menaiktarafkan jalan utama di Pekan Simanggang kepada lebuh raya dua lorong, Jambatan Batang Lupar 2 serta beberapa projek pembangunan lain yang kini telah siap atau berada di fasa akhir, termasuk Kompleks Islam Sarawak Sri Aman.
Hal ini membuktikan bahawa Sri Aman sedang berkembang pesat seiring dengan agenda pembangunan Sarawak di bawah kepimpinan Premier Sarawak tetapi dalam menuju arus pembangunan ini, aspek keseimbangan flora dan fauna tetap diberi perhatian agar kelestarian alam sekitar tidak dilupakan,” katanya.
Foto berkumpulan Mahra (enam kanan, baris ke dua) bersama petugas sukarela yang merealisasikan Benak Road Trail Run 2025.
Beliau menambah, dengan pelbagai projek strategik yang sedang dilaksanakan, Sri Aman kini bukan sahaja menjadi simbol kemajuan tetapi juga berpotensi besar sebagai destinasi baharu untuk sukan, pelancongan dan pembangunan mapan di Sarawak.
Menurut Mahra lagi, acara ini bukan sahaja mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk setempat malah turut disertai peserta dari Semenanjung Malaysia dan luar negara yang secara jelasnya menggambarkan simbol perpaduan kaum serta keunikan Sri Aman yang mampu menarik perhatian pelbagai lapisan masyarakat.
Laporan/ foto : Iswandy Kassim/ Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) (Sarawak)