Berita

 

Keselamatan Jadi Fokus Utama Pesta Benak 2025 – Residen Sri Aman

Disiarkan pada 18 Sep 2025
Sumber Berita: Facebook Jabatan Penerangan Sarawak
SRI AMAN, 18 Sept – Residen Bahagian Sri Aman, Mahra Salleh menegaskan aspek keselamatan menjadi fokus utama sepanjang berlangsungnya Pesta Benak 2025 yang akan bermula esok hingga Ahad ini.
Beliau berkata, pihak urusetia bersama Jawatankuasa Keselamatan telah memperketatkan kawalan dengan menambah anggota serta menempatkan bot keselamatan di lokasi-lokasi strategik.
“Pengurus pasukan juga disaran agar lebih berwaspada sebelum, semasa dan selepas pertandingan, khususnya dengan keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini.
“Insiden yang berlaku di beberapa lokasi penganjuran regatta sebelum ini wajar dijadikan iktibar dan pengajaran, bukan sahaja kepada peserta, malah juga kepada petugas serta orang ramai yang hadir menyaksikan acara seperti ini. Justeru, saya mengingatkan semua pendayung agar sentiasa menggunakan jaket keselamatan yang bersesuaian demi keselamatan diri masing-masing,” tegas beliau.
Menurut Mahra, kawalan keselamatan kali ini turut diperkukuh dengan penyertaan bot keselamatan orang awam selain agensi utama seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (BOMBA), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Sarawak Coast Guard.
“Terima kasih di atas komitmen penduduk tempatan yang turut sama membantu meningkatkan tahap keselamatan di Sungai sepanjang penganjuran Pesta Benak ini,” katanya lagi.
Beliau menambah, anggota polis juga akan ditempatkan di beberapa lokasi strategik di tapak pesta bagi memudahkan urusan kawalan keselamatan dan pergerakan orang ramai.
Dalam masa sama, beliau turut mengingatkan ibu bapa agar tidak membiarkan anak kecil berkeliaran tanpa pengawasan selain menasihati orang ramai supaya berwaspada terhadap kegiatan penyeluk saku di kawasan sesak.
“Pastikan juga rumah yang ditinggalkan sepanjang penganjuran pesta tidak kosong tanpa kawalan,” ujarnya.
Pesta Benak yang menjadi acara ikonik tahunan Sarawak dijangka menarik ribuan pengunjung dari dalam dan luar negara bagi menyaksikan fenomena ombak benak di Sungai Batang Lupar, selain pelbagai acara sukan air, kebudayaan dan jualan rakyat.
Mahra berkata demikian selepas menghadiri sesi raptai penuh Majlis Perasmian Pesta Benak 2025 di Waterfront Sri Aman pagi tadi.