SIMANGGANG, 14 Okt: Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) Cawangan Sri Aman bertekad memperkukuh kerjasama strategik dengan pelbagai agensi kerajaan di bahagian ini bagi memperkasakan komuniti usahawan tempatan.
Pengerusinya, Abdillah Majid, berkata langkah itu penting bagi memastikan inisiatif pembangunan usahawan dapat dilaksanakan secara menyeluruh serta memberi impak besar terhadap pertumbuhan ekonomi setempat.
“DUBS Sri Aman akan terus bergerak seiring aspirasi kerajaan negeri dan Persekutuan dalam memperkasa komuniti usahawan tempatan, terutama di luar bandar,” katanya dalam kenyataan susulan Mesyuarat Pertama Jawatankuasa DUBS Sri Aman Sesi 2025–2028 di sini, hari ini.
Menurut Abdillah, pihaknya komited memperkukuh jalinan dengan agensi kerajaan bagi mengukuhkan ekosistem keusahawanan di Sri Aman.
“Kerjasama erat dengan agensi kerajaan amat penting agar pelaksanaan program keusahawanan lebih tersusun dan memberi manfaat menyeluruh kepada masyarakat,” katanya.
Beliau berkata, DUBS Sri Aman akan memberi tumpuan kepada program latihan keusahawanan, pendedahan pasaran dan bantuan pemasaran produk bagi meningkatkan daya saing usahawan tempatan.
“Kita mahu produk tempatan hasil tangan usahawan Sri Aman menembusi pasaran lebih luas, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi tempatan dan negeri,” jelasnya.
Dalam mesyuarat berkenaan, Abdillah turut membentangkan hala tuju serta perancangan program sesi baharu dengan penekanan kepada penyertaan aktif golongan muda dan wanita dalam bidang keusahawanan.
Beliau berkata, usaha itu sejajar dengan aspirasi Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, untuk menjadikan Sarawak sebagai negeri maju menjelang 2030 melalui pembangunan ekonomi yang inklusif.