SIMANGGANG: Kerajaan Sarawak telah meluluskan peruntukan sebanyak RM5 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 bagi melaksanakan Program Transformasi Kampung (VTP).
Penasihat di Pejabat Premier (Pemantauan Projek dan Program Luar Bandar) merangkap Pengerusi Agensi Pembangunan Sri Aman (SADA) Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, sebanyak 20 siri program membabitkan 1,015 peserta telah dilaksanakan sepanjang tempoh 2022 hingga awal tahun 2025.
Menurutnya, program tersebut telah menawarkan tujuh kursus merangkumi asas keselamatan elektrik, kulinari dan pastri, pembuatan simen fero, pembuatan kerangka aluminium, tanaman fertigasi dan hidroponik serta kursus jahitan dan kraftangan.
“Pelaksanaan ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkasa komuniti luar bandar melalui pembangunan kemahiran dan peluang penjanaan pendapatan.
“Usaha ini sejajar dengan aspirasi kerajaan untuk membentuk masyarakat luar bandar berdikari, inklusif dan berdaya saing menjelang tahun 2030,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutupan Program Transformasi Kampung (VTP) Siri Ke-4 Tahun 2025 Bahagian Sri Aman dan program VTP Sarawak di bawah Rancangan Malaysia Ke-12, baru-baru ini.
Jelas beliau, VTP berjaya melahirkan beberapa usahawan kecil yang kini aktif menjana pendapatan melalui bidang kemahiran masing-masing.
Katanya, antara yang paling menyerlah ialah kursus asas keselamatan elektrik yang pesertanya berjaya menawarkan khidmat pendawaian elektrik kepada komuniti setempat.
Selain itu, kursus asas jahitan dilihat berjaya menghasilkan kraftangan manik, skirt buri, perhiasan sugu tinggi dan pelbagai produk kreatif lain yang mencerminkan warisan dan identiti tempatan.
“Keupayaan peserta untuk menjana pendapatan melalui pelbagai saluran mencerminkan keberkesanan pendekatan VTP yang menyeluruh dan inklusif.
“Kejayaan peserta dalam pelbagai bidang yang telah dikongsikan membuktikan bahawa mereka sedang bergerak seiring dengan matlamat utama Program VTP sebagai ejen perubahan dalam meningkatkan taraf dan kualiti hidup keluarga,” katanya.
Bagi program VTP Bahagian Sri Aman, beliau memberitahu terdapat tiga kursus utama ditawarkan.
Antaranya, kursus asas tanaman secara fertigasi dan hidroponik, kursus kraftangan manik dan skirt buri dan kursus kulinari dan pastri.
Terdahulu, kursus edisi keempat itu dihadiri seramai 51 orang peserta dari kampung tradisi dan rumah panjang dari Sri Aman, Lubok Antu, Lingga dan Pantu.
BERCAKAP….Pengerusi Agensi Pembangunan Sri Aman (SADA)