Berita

 

Pesta Kuih Bulan Sri Aman 2025 bukti penyatuan komuniti setempat

Disiarkan pada 13 Oct 2025
Sumber Berita: Suara Sarawak

SIMANGGANG: Penganjuran Pesta Kuih Bulan diharap dapat diteruskan sebagai simbol penyatuan kaum pelbagai bangsa, khususnya kepada komuniti di Sri Aman.

Timbalan Menteri Pembangunan Bakat Sarawak merangkap ADUN Simanggang, Datuk Francis Harden berkata kejayaan pihak penganjur menganjurkan majlis pertunjukan kebudayaan Pesta Kuih Bulan 2025 membuktikan bahawa simbol penyatuan budaya masyarakat Cina kekal utuh dalam era informasi tanpa sempadan.

“Pada masa kini, pesta ini merupakan simbol penyatuan budaya masyarakat Cina dan mengangkat kesepakatan menentang perkara tidak baik yang berlaku dalam kalangan masyarakat.

“Memperingati perayaan ini merupakan satu kemestian agar ia tidak luput ditelan zaman serta memberi pendedahan kepada generasi baharu,” katanya ketika berucap pada majlis sambutan tersebut baru-baru ini.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Buddhist Sri Aman merangkap wakil penganjur majlis, Foo Chin Sui, menzahirkan penghargaan kepada masyarakat serta kepimpinan Sri Aman atas sokongan yang diberikan terhadap majlis berkenaan.

Beliau turut menyifatkan sokongan tersebut sebagai usaha menyokong dan mengangkat martabat budaya kepada generasi semasa.

“Pada majlis ini, kita dapat menyaksikan penglibatan golongan remaja yang dilatih oleh tenaga pengajar untuk mempersembahkan tarian kebudayaan, dan ini merupakan aktiviti sihat yang membangunkan kecerdasan minda serta fizikal dalam kalangan mereka.

“Terima kasih diucapkan kepada para pemimpin kerana sudi meluangkan masa bersama-sama kita meraikan majlis ini dalam usaha mengangkat budaya kepada generasi semasa,” katanya.

Pesta Kuih Bulan merupakan simbol perpaduan dalam menentang pemerintah yang kejam dan menindas rakyat pada zaman pemerintahan Dinasti Yuan.

Kejatuhan Dinasti Yuan mengangkat Dinasti Ming yang memerintah secara adil serta disukai oleh rakyat jelata pada zaman tersebut.