SRI AMAN: Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) Cawangan Sri Aman komited memperkukuh kerjasama strategik dengan pelbagai agensi kerajaan di Bahagian Sri Aman bagi merancang serta melaksanakan inisiatif pembangunan usahawan yang lebih menyeluruh.
Komitmen tersebut dizahirkan menerusi Mesyuarat Pertama Jawatankuasa DUBS Sri Aman bagi Sesi 2025–2028 yang diadakan di Tandang Sari Avenue, di sini, pada Selasa
Mesyuarat berkenaan dipengerusikan oleh Pengerusi DUBS Sri Aman Abdillah Majid dan turut dihadiri oleh Timbalan Pengerusi Gerald Empaling Donald; Naib Pengerusi, Awangku Hafizi Awang Azahari serta barisan ahli jawatankuasa lain.
Menurut Abdillah, DUBS Sri Aman akan terus menjadi rakan strategik utama kerajaan negeri dan Persekutuan dalam memperkasa komuniti usahawan tempatan, khususnya di kawasan luar bandar.
“DUBS Sri Aman akan terus bergerak seiring aspirasi kerajaan negeri dalam memperkasa komuniti usahawan tempatan terutamanya di luar bandar,” katanya.
Beliau menegaskan, jalinan kerjasama erat dengan agensi kerajaan di peringkat bahagian amat penting bagi memastikan pelaksanaan program keusahawanan dapat dilaksanakan secara tersusun dan memberi impak yang menyeluruh kepada masyarakat.
“Kita akan memperkukuh hubungan dengan agensi-agensi kerajaan negeri dan Persekutuan bagi memperkasa ekosistem keusahawanan di Sri Aman,” ujar beliau.
Selain memperkukuh rangkaian strategik, katanya, DUBS Sri Aman turut memberi tumpuan kepada pelaksanaan program latihan, pendedahan pasaran serta bantuan pemasaran produk bagi membantu usahawan tempatan meningkatkan daya saing.
“Kita mahu memastikan produk tempatan hasil tangan usahawan Sri Aman dapat menembusi pasaran lebih luas, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi tempatan dan negeri,” jelasnya.
Dalam mesyuarat tersebut, Abdillah turut membentangkan hala tuju dan perancangan program bagi sesi baharu yang menumpukan kepada pengukuhan penyertaan usahawan bumiputera serta pembangunan potensi generasi muda dan wanita dalam bidang keusahawanan.
Mesyuarat berkenaan juga menjadi platform memperkukuh semangat kerjasama dalam kalangan ahli bagi menjayakan agenda pembangunan ekonomi bumiputera di Sri Aman, seiring aspirasi Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, untuk menjadikan Sarawak sebagai negeri maju menjelang 2030.