SINGAPURA, 15 Okt: Sarawak bakal menggubal undang-undang baharu berkaitan pengumpulan dan pengurusan sisa bagi memperkukuh pelaksanaan ekonomi kitaran dan mempercepat peralihan kepada tenaga hijau.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, cadangan itu akan dibentangkan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak akan datang.
“Saya akan mencadangkan undang-undang baharu pada sidang DUN akan datang ini mengenai pengumpulan sisa. Kita mahu semua sisa dikumpulkan, disatukan, dan diproses menjadi aktiviti ekonomi baharu,” katanya.
Jelas beliau, undang-undang tersebut akan membolehkan kerajaan negeri menyatukan sumber sisa secara sistematik serta membuka peluang menjana pendapatan baharu.
Menurut beliau, Natural Resources and Environment Board (NREB) mungkin diberi peranan lebih besar dalam pelaksanaan dasar berkenaan.
“Sebab itu saya mahu NREB dikorporatkan supaya mereka tidak lagi bergantung kepada dana kerajaan tetapi boleh menjana pendapatan sendiri melalui aktiviti pengurusan sisa,” ujar beliau.
Beliau turut menegaskan Sarawak akan menghentikan penggunaan tapak pelupusan sisa dan beralih kepada pelaburan dalam teknologi insinerator moden bagi menjana tenaga daripada sisa dan mengurangkan pencemaran.
“Kita perlu melabur dalam teknologi insinerator. Jangan guna landfill lagi kerana sukar memisahkan sisa. Dengan insinerator bahan seperti plastik boleh diasingkan dan diproses semula untuk menjana pendapatan,” jelas beliau.
Dalam konteks itu, Abang Johari menyeru Sarawak Land Consolidation and Rehabilitation Authority (SALCRA) untuk memulakan projek perintis di Lubok Antu yang memanfaatkan sisa ladang kelapa sawit sebagai sumber tenaga dan makanan ternakan.
“Pokok kelapa sawit yang tua dan tidak lagi mengeluarkan hasil akan ditebang dan diproses menjadi biomass, manakala isirung tambah dengan rumput gajah boleh dijadikan makanan ternakan,” katanya.
Tambah beliau, konsep ternakan secara ‘feedlot’ juga akan dimanfaatkan di Sarawak bagi menghasilkan kitaran tenaga lestari.
“Najis lembu mengandungi metana dan hidrogen bahan ini boleh dijadikan tenaga elektrik manakala biogas dijadikan Sustainable Aviation Fuel (SAF). Jadi, daripada sisa, kita jana tenaga dan nilai ekonomi baharu,” jelas Abang Johari. -TVS