SRI AMAN, 18 Okt: Kawasan Sri Aman dilihat berpotensi besar untuk dibangunkan sebagai hab sukan baharu di Sarawak menerusi pelbagai fasiliti moden yang mampu melahirkan lebih ramai atlet berkualiti khususnya dari kawasan luar bandar.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Gerald Rentap Jabu berkata, usaha berterusan Kerajaan Sarawak dalam menyediakan kemudahan sukan di setiap bahagian negeri bukan sahaja bertujuan melahirkan atlet profesional, tetapi turut menggalakkan perpaduan dan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat.
Menurut beliau, kemudahan sedia ada di Sri Aman termasuk stadium, trek olahraga dan kolam renang akan diperkasa dengan pembinaan sebuah pusat latihan tinju serta asrama baharu yang dijangka memgambil.masa tiga tahun sekali gus memberi nilai tambah kepada pembangunan sukan negeri.
“Kita melihat satu kawasan untuk membangunkan pusat latihan tinju di Sri Aman. Dalam pada itu juga kita menggalakkan bukan sahaja pusat tinju, kita ingin membangunkan satu asrama supaya tempat ini di Kompleks Sukan Sri Aman, kita ada stadium ini, kita ada balapan, stadium untuk berlari dan kolam renang. Jadi Sri Aman dapat dijadikan hab sukan,” katanya.
Gerald berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Hari Sukan Negara Peringkat Negeri Sarawak 2025 yang berlangsung di Stadium Tertutup Sri Aman, pagi Sabtu.
Tegas beliau, usaha memperkasa fasiliti sukan di luar bandar seperti di Sri Aman selaras dengan hasrat Kerajaan Sarawak untuk melahirkan lebih ramai atlet bertaraf nasional, termasuk dari kalangan bakat-bakat muda di pedalaman.
Inisiatif itu juga, ujarnya, membuka peluang kepada pelbagai lapisan masyarakat luar bandar untuk menikmati kemudahan sukan moden serta memperkukuh semangat perpaduan antara komuniti setempat.
Beliau menambah, dengan sokongan berterusan daripada Kerajaan Sarawak dan masyarakat, Sri Aman berpotensi menjadi pusat tumpuan utama pembangunan sukan di kawasan tengah negeri pada masa akan datang.-TVS