News

 

Bakti Tanpa Sempadan, Sukarelawan Sarawak Dihargai

Posted on 19 Oct 2025
Source of News: TVS

SRI AMAN, 19 Okt: Semangat dan dedikasi sukarelawan dalam kerja kemanusiaan di seluruh Sarawak menjadi teladan kepada masyarakat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor berkata, setiap pengorbanan sukarelawan bukan sahaja memberi impak positif kepada komuniti setempat, malah mencerminkan nilai kemanusiaan tinggi.

“Saya amat berbesar hati dapat bersama-sama meraikan para sukarelawan yang menabur bakti dalam kerja-kerja kemanusiaan di seluruh negeri Sarawak.

“Setiap usaha dan pengorbanan anda membawa makna besar kepada masyarakat yang memerlukan,” katanya ketika berucap pada Volunteers’ Recognition Night 2025, anjuran Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) Cawangan Sarawak, di sini, malam tadi.

Dayang Noorazah turut menghargai pihak penganjur yang sentiasa memberi pengiktirafan kepada sukarelawan, tulang belakang kepada pelbagai inisiatif kemasyarakatan.

“Majlis ini mengiktiraf sumbangan ahli dan pegawai BSMM yang menunjukkan komitmen tinggi dalam aktiviti kemanusiaan serta pembangunan komuniti di seluruh negeri. Tahniah diucapkan kepada semua penerima anugerah,” ujarnya.

Turut hadir Pengerusi BSMM Cawangan Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Dr. George Chan Hong Nam dan Pengerusi BSMM Bahagian Sri Aman, Isaac Stalin Simon Japut.

Pelbagai anugerah disampaikan kepada individu dan pasukan terbaik termasuk Best Junior Officer 2025, Best Cadet Unit 2025, Best Social Media 2025, Best Disaster Management 2025, Platinum Award dan Volunteer of The Year 2025 bagi menghargai usaha dan semangat sukarelawan sepanjang tahun.-TVS