News

 

Rayong Gesa Sistem Sokongan Kesihatan Mental Diperkuat Di Sekolah

Posted on 24 Oct 2025
Source of News: Suara Sarawak

SIMANGGANG: Kerajaan harus memastikan setiap sekolah mempunyai sistem sokongan yang mesra dan selamat serta memberikan pendidikan kesihatan mental sejak di bangku sekolah rendah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr. Johnichal Rayong Ngipa berkata, kanak-kanak yang menjadi mangsa buli menerima kesan buruk bukan sekadar rasa sedih, tetapi boleh menghancurkan keyakinan diri dan menimbulkan rasa putus asa.

Malah menurutnya, dalam kes tertentu, keadaan itu boleh membawa kepada tindakan yang tidak diingini.

“Lebih membimbangkan, ramai antara mereka tidak tahu ke mana hendak mendapatkan pertolongan, malah ada yang takut untuk bersuara.

Sehubungan itu, kerajaan perlu memastikan setiap sekolah mempunyai sistem sokongan yang mesra dan selamat serta pendidikan kesihatan mental yang diberikan secara menyeluruh sejak di bangku sekolah rendah,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Sambutan Hari Terapi Cara Kerja Sedunia Peringkat Sarawak dan Hari Kesihatan Mental Sedunia Peringkat Hospital Sri Aman di Dewan Suarah Sri Aman, hari ini.

Jelasnya, tema sambutan tahun ini amat bertepatan dalam memastikan akses kepada perkhidmatan kesihatan mental sentiasa terbuka, mesra dan responsif, terutamanya dalam keadaan kecemasan atau krisis.

“Perkhidmatan ini bukan hanya untuk pesakit psikiatri di hospital, tetapi untuk semua, termasuk pelajar, ibu bapa, penjawat awam, petani, nelayan dan warga kerja di setiap lapisan masyarakat.

Saya percaya dengan tema semangat ‘Terapi Pekerjaan dalam Tindakan’ dan ‘Akses kepada Perkhidmatan’, kita mampu mewujudkan masyarakat yang lebih empati, inklusif dan sejahtera, di mana setiap individu diberi ruang untuk pulih, berkembang dan hidup dengan bermakna.

“Justeru, marilah kita bina masyarakat yang lebih empati, lebih prihatin dan lebih bersedia memberikan bantuan, bukan hanya selepas bencana tetapi ketika ia sedang berlaku — termasuk bencana senyap dalam fikiran dan jiwa remaja,” ujarnya.

Tegas Rayong, tidak semua kes buli memerlukan rawatan psikiatri, namun jika gejala emosi atau tingkah laku mula mengganggu fungsi harian, keselamatan diri dan hubungan sosial, bantuan profesional bukan lagi pilihan, sebaliknya menjadi keperluan.

“Ingatlah, kesihatan mental adalah asas kepada kemakmuran hidup.


Jika minda dan jiwa kita tenang, maka tindakan kita juga akan lebih rasional, penuh kasih dan harmoni.
Sebaliknya, apabila minda dan emosi seseorang runtuh, maka seluruh kehidupannya akan terjejas serta meninggalkan kesan mendalam dan berpanjangan kepada individu dan masyarakat,” tambahnya.

Katanya lagi, isu kesihatan mental tidak harus dipandang ringan. Justeru, kerajaan menyediakan pelbagai inisiatif termasuk menempatkan perkhidmatan psikiatri dan terapi cara kerja di hospital bagi memastikan masyarakat dapat memperoleh rawatan sewajarnya.