SRI AMAN, 31 Okt (Malaysia Aktif) – Kontinjen Pejabat Residen dan Pejabat Daerah (RANDO) Bahagian Sri Aman kini bersedia untuk ‘terbang tinggi’ selepas melancarkan jersi pasukan dan mengumumkan jumlah penyertaan ke Karnival Sukan RANDO Sarawak 2025 yang bakal berlangsung di Samarahan dari 6 hingga 9 November ini.
Majlis pelancaran yang diadakan pagi tadi di pekarangan Pejabat Residen disempurnakan Residen Bahagian Sri Aman Mahra Salleh, berlangsung dalam suasana penuh semangat kesukanan dan perpaduan.
Warna rasmi biru dan logo burung merpati menjadi simbol kekuatan, kesetiaan dan tekad kontinjen Sri Aman untuk mengharumkan nama bahagian.
Tongak kekuatan 94 peserta terdiri daripada 61 lelaki dan 33 wanita, diketuai sendiri oleh Mahra yang meletakkan keyakinan tinggi untuk mencapai sasaran kemenangan, khususnya menerusi acara Pickleball iaitu diharapkan membawa pulang pingat emas.
Selain sasaran tersebut, kontinjen Sri Aman turut menyasarkan pingat gangsa bagi acara bola jaring dan bola sepak manakala badminton atau ping pong pula diharap mampu mara ke peringkat separuh akhir.
Menurut beliau, kekuatan utama kontinjen Sri Aman terletak pada semangat kerja berpasukan, disiplin tinggi dan persediaan rapi oleh setiap pasukan.
“Kita mahu semangat ‘Bangkit RANDO Sri Aman, Bangkit Terbang Tinggi’ bukan hanya dilaungkan di gelanggang tetapi diterjemahkan dalam tugas seharian sebagai penjawat awam yang berkhidmat untuk rakyat,” katanya lagi.
Mahra turut berharap kontinjen Sri Aman mampu berada dalam lima pasukan terbaik daripada 12 kontinjen yang bertanding di seluruh Sarawak.
“Ingatlah juga bahawa penyertaan kali ini bukan sekadar medan persaingan sukan tetapi platform memperkukuhkan jaringan kerjasama, semangat perpaduan dan nilai profesionalisme dalam kalangan penjawat awam di sini,” tambahnya pula.
Semua acara karnival akan berlangsung di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) kecuali acara Pickleball yang dijadualkan diadakan di The Summer Shopping Mall, Kota Samarahan.
Dengan tekad ‘Merpati Terbang Tinggi’, kontinjen RANDO Sri Aman kini bersedia sepenuhnya untuk mengharumkan nama bahagian tersebut di pentas Karnival Sukan RANDO Sarawak 2025, sambil menjadikan karnival ini sebagai wadah memperkukuh silaturahim, kerjasama dan semangat kesepunyaan dalam perkhidmatan awam.
Hadir sama Timbalan Residen Bahagian Sri Aman Charlie Keling, Pegawai Daerah Sri Aman Shariff Bujang dan wakil Pegawai Daerah Lingga Nurshazani Fadli Salihin.
-RJ-