SIMANGGANG: Kelab Tinju Tidal Bore (TBBC) Sri Aman terus mengukuhkan reputasinya sebagai kuasa baharu sukan tinju apabila meraih tiga gelaran juara dan tujuh gelaran naib juara dalam Twins Championship 103 di sini, hujung minggu lepas.
Kejohanan yang buat pertama kali dianjurkan di luar Semenanjung Malaysia itu menyaksikan penampilan sulung TBBC di pentas tinju profesional, namun kelab tersebut tetap menunjukkan prestasi luar biasa dengan rangkaian kemenangan meyakinkan daripada barisan petinjunya.
Tiga petinju TBBC yang mencipta kejayaan selaku juara ialah Ah Meng bagi kategori 76–80kg, Zulkarnain Iswandy (51–55kg) dan Mohammad Zakwan Kamaruddin (51–55kg).
Selain itu, tujuh lagi petinju TBBC turut mengharumkan nama kelab apabila muncul naib juara menerusi Dennis (86–90kg), Alvin Bong (61–65kg), Muhammad Irfan Mohamad Ishak (56–60kg), Lazerius Chung Huang Sheng (56–60kg), Tristan Aeden Minggu (66–70kg), Rozmey (61–65kg) serta Mohammad Zakwan bagi kategori tambahan bawah 16 tahun.
Presiden TBBC Sri Aman, Awangku Hafizi Awang Azahari, berkata pencapaian itu membuktikan kemampuan dan potensi besar TBBC sebagai salah satu kelab paling kompetitif dalam arena tinju tempatan.
“Ini penampilan pertama TBBC di pentas tinju profesional dan para petinju kita telah memberikan aksi cemerlang.
Ia satu petanda bahawa Sri Aman sememangnya mempunyai bakat besar yang mampu bersaing di peringkat lebih tinggi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau turut menyifatkan kejayaan kelab itu sebagai bukti keberkesanan program latihan intensif selama sebulan yang dirangka khusus untuk kejohanan berprestij tersebut.
Menurutnya, penganjuran Twins Championship 103 memberikan kelebihan psikologi kepada para petinju tempatan sambil menonjolkan kekuatan komuniti sukan tinju di sini.
“Sri Aman bukan hanya melahirkan juara, tetapi menjadi pusat perkembangan sukan tinju yang semakin diiktiraf. Kejayaan ini adalah hasil usaha jurulatih, komuniti dan semangat tinggi anak-anak muda kita,” ujarnya.
Dengan kejayaan besar ini, TBBC optimis mampu terus mengembangkan bakat-bakat baharu dan menempatkan Sri Aman dalam peta sukan tinju tanah air.
Tambahnya, meskipun kejohanan ini merupakan penampilan pertama TBBC dalam kejohanan tinju profesional, aspek akademik tetap menjadi keutamaan, khususnya bagi atlet yang sedang menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
“Beberapa petinju muda berpotensi tinggi tidak diturunkan kerana memberi ruang untuk mereka menumpukan sepenuhnya kepada persediaan peperiksaan.
“Langkah ini selaras dengan polisi kelab yang menekankan pembangunan holistik melahirkan atlet yang bukan sahaja cemerlang di gelanggang, tetapi juga kukuh dari segi akademik dan sahsiah,” ujarnya. – TVS