PERKUKUH BUDAYA INTEGRITI MENERUSI PROGRAM JEJAK INTEGRITI
Disiarkan pada 21 Nov 2025
Sumber Berita: Berita RTM
SRI AMAN, 21 Nov - Program Jejak Integriti Daerah Sri Aman, Pantu dan Lingga 2025 menjadi landasan memperkukuh budaya integriti dalam komuniti perkhidmatan awam dan masyarakat.
Timbalan Residen Bahagian Sri Aman, Charlie Keling berkata, program ini bertujuan menyebarluaskan amalan pengurusan integriti, mengekalkan jati diri, meningkatkan kualiti kerja serta memperkukuh tadbir urus yang mantap.
Ujarnya, pelaksanaan program ini juga bertujuan memperkasa integriti serta jati diri dalam kalangan ahli Majlis Kebajikan dan Sukan, Anggota-anggota Kerajaan Malaysia (MAKSAK) Wanita Bahagian Sri Aman sebagai tulang belakang sokongan komuniti melalui peranan kepimpinan wanita yang semakin penting.
"Program pada hari ini bukan sekadar acara tahunan sebaliknya adalah usaha berterusan untuk memperkukuh budaya integriti dalam komuniti perkhidmatan awam, masyarakat, dan sektor penyampaian perkhidmatan di daerah kita,” katanya,
Justeru, ini sangat penting sebagai ruang untuk mengingatkan diri bahawa nilai amanah, ketelusan dan tanggungjawab mesti sentiasa dipelihara.
Beliau berucap merasmikan program anjuran Pentadbiran Bahagian Sri Aman yang bertemankan ‘Integriti Teras Kemajuan Sarawak’ di Dewan Suarah Sri Aman.
Seramai 350 peserta dan 21 pempamer daripada agensi berkaitan terlibat pada program yang berlangsung sehari itu.
Turut diadakan ceramah Integriti ‘Garis Panduan Pengurusan Hadiah untuk Perkhidmatan Negeri Sarawak’, Forum Integriti ‘Buli Bukan Budaya Kita’ dan taklimat ‘Self-Defense for Working Women’.
Wartawan: AZIEMAH KASSIM
Foto: UKAS
#beritartmsarawak #rtmsarawaknews #madanibekerja #bersamaMalaysiaku #Rancakkanmadani #MAKSAK