Berita

 

Residen Sri Aman Puji Kerjasama NGO Tambah Baik Fasiliti Klinik Kesihatan

Disiarkan pada 24 Dec 2025
Sumber Berita: Pejabat Penerangan Daerah Sri Aman
SRI AMAN, 23 Dis -- Residen Bahagian Sri Aman, Mahra Salleh memuji inisiatif pantas badan bukan kerajaan (NGO) dalam membantu menambah baik fasiliti awam demi menjamin keselesaan rakyat, khususnya di pusat kesihatan.

Beliau berkata kerjasama erat antara NGO dan agensi kerajaan merupakan elemen penting dalam memastikan keperluan komuniti setempat dapat dipenuhi dengan segera, tanpa bergantung sepenuhnya kepada peruntukan kerajaan semata-mata.

"Kerjasama erat antara NGO dan agensi kerajaan dalam usaha menambah baik fasiliti awam ini amat dialu-alukan demi manfaat rakyat secara keseluruhan," katanya selepas mengadakan lawatan rasmi ke Poliklinik Sri Aman, di sini hari ini.

Mahra berkata demikian bagi mengulas tindakan proaktif Pertubuhan Meninggikan Akhlak Che Chuan Khor Sri Aman yang bertindak pantas menggantikan kanvas khemah di kawasan menunggu sementara klinik berkenaan yang rosak sebelum ini.

Isu kerosakan khemah tersebut sebelum ini tular di laman Facebook selepas mendapat rungutan netizen yang mendakwa ia menjejaskan keselesaan pesakit yang hadir mendapatkan rawatan.

Hasil tindakan segera pertubuhan tersebut bersama Biro Pemudanya, kemudahan tersebut berjaya dibaik pulih dalam tempoh satu minggu selepas mendapat persetujuan pihak klinik.

Dalam lawatan sama, Mahra turut menyaksikan simbolik penyerahan sumbangan tersebut oleh Pengerusi Pertubuhan, Temenggong Kueh Aik Seng kepada Pegawai Klinik Kesihatan Sri Aman, Dr. Wong Jiat Yin.

Dalam pada itu, beliau turut memberikan pengiktirafan kepada pengoperasian Klinik Kesihatan Sri Aman yang kini beralih kepada pemanfaatan sistem digital.

Menurutnya, langkah pendigitalan itu secara langsung meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan, pengurusan pesakit serta melancarkan proses rawatan di klinik tersebut.

Terdahulu, beliau diberikan taklimat pengoperasian oleh Dr. Wong dan Ketua Seksyen Pembangunan Kesihatan Keluarga Pejabat Kesihatan Bahagian (PKB) Sri Aman, Dr. Mirunaaleni Selvaraju.

Turut hadir Temenggong Iban, Temenggong Leonard Libau; Setiausaha Pertubuhan, Tay Cho Seng; Ketua Pemuda Pertubuhan, Ngu Sze Lee serta ahli jawatankuasa pertubuhan, Calvin Chong Sze Meng dan Vincent Yong Sin Poh.

Kredit Foto : Unit Komunikasi Awam Sarawak - UKAS