SIMANGGANG, 20 Dis 2025 — Konsep Islam Rahmat Seluruh Alam menjadi fokus utama dalam Forum Perdana Ehwal Islam Peringkat Bahagian Sri Aman 1447H/2025M yang berlangsung di Masjid Bandar Sri Aman malam semalam.
Forum yang berlangsung selepas Solat Maghrib itu menghimpunkan masyarakat setempat dalam suasana pengisian rohani dan keilmuan, sekaligus memperkukuhkan kefahaman terhadap Islam sebagai agama yang membawa rahmat, kasih sayang dan keharmonian sejagat.
Kehadiran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.28 Lingga, YB Puan Dayang Noorazah binti Haji Awang Sohor yang meluangkan masa bersama para jemaah serta peserta forum, menunjukkan sokongan kepimpinan terhadap usaha memperkasa penghayatan Islam yang syumul dalam kalangan masyarakat.
Forum menampilkan barisan panel ilmuan agama yang membincangkan pelbagai aspek berkaitan konsep rahmatan lil ‘alamin, termasuk peranan umat Islam dalam memelihara perpaduan, mengamalkan nilai toleransi serta menyumbang kepada kesejahteraan sosial dalam masyarakat majmuk.
Antara panel jemputan ialah Ustaz Kamarulzaman bin Haji Kawi, Pemangku Pegawai Agama Islam Bahagian Sri Aman selaku moderator; Ustaz Haji Abdul Rahim bin Haji Rashid, Pegawai Agama Islam Bahagian Kuching; Ustaz Haji Bahrin bin Haji Kawi, Pegawai Agama Islam Bahagian Samarahan; serta Ustaz Madihi bin Jamali, Pegawai Agama Islam Bahagian Serian.
Perbincangan juga menekankan kepentingan institusi masjid sebagai pusat penyatuan ummah dan medan penyebaran ilmu, selaras dengan keperluan memperkukuh keharmonian dan saling menghormati dalam kehidupan bermasyarakat.
Program anjuran Jabatan Agama Islam (JAIS) Bahagian Sri Aman ini mendapat sambutan hangat daripada penduduk sekitar dan jemaah Masjid Bandar Sri Aman, serta turut dihadiri Residen Bahagian Sri Aman, Mahra Salleh, dan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Masjid Bandar Sri Aman, Azmi Morshidi.
Kehadiran ramai peserta mencerminkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pengisian keilmuan dan kerohanian sebagai asas pembentukan komuniti yang berakhlak, berilmu dan sejahtera.
Forum Perdana Ehwal Islam ini diharap dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai platform berkesan untuk menyemai kefahaman Islam yang sederhana, inklusif dan membawa rahmat kepada seluruh alam.
ISK