KUCHING: Sarawak melangkah ke fasa baharu dalam agenda keterjaminan makanan apabila Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengumumkan persetujuan dasar kerajaan negeri untuk menubuhkan Lembaga Padi Sarawak, satu institusi strategik yang bakal mentransformasikan keseluruhan rantaian nilai industri padi dan beras negeri.
Di bawah kepimpinan beliau, penubuhan lembaga ini bukan sekadar pengurusan hasil tani, tetapi merupakan langkah berani ke arah kedaulatan makanan, mengurangkan kebergantungan kepada pihak luar serta memperkukuh daya tahan ekonomi luar bandar.
Menurut Abang Johari, Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah (M-FICORD) kini sedang memperincikan kerangka kerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Malaysia, khususnya berkaitan pengimportan benih padi berteknologi tinggi serta pengurusan eksport dan import beras.
“Pada masa ini, import dan eksport beras dikendalikan oleh Padiberas Nasional Berhad (BERNAS). Namun, Sarawak kini bersedia melangkah ke tahap seterusnya melalui pelaburan strategik sendiri.
“Lembaga Padi Sarawak akan diberi peranan untuk mengimport benih berkualiti tinggi serta mengurus eksport dan import beras bagi menyokong pengeluaran tempatan secara mampan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Kompleks Islam Sarawak Sri Aman di Sri Aman, hari ini.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak Datuk Misnu Taha serta kenamaan lain.
Abang Johari menjelaskan bahawa penubuhan Lembaga Padi Sarawak adalah sebahagian daripada transformasi menyeluruh sektor pertanian, termasuk pengenalan benih padi berpotensi tinggi yang mampu meningkatkan hasil tuaian secara signifikan tanpa menjejaskan kelestarian alam sekitar.
“Kita mahu pertanian yang moden, berdaya saing dan mampan. Dengan benih yang lebih baik dan pengurusan yang tersusun, petani akan menikmati hasil yang lebih tinggi dan pendapatan yang lebih stabil,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa Sri Aman, sebagai antara jelapang padi utama Sarawak, akan menjadi perintis kepada pendekatan baharu ini sebelum diperluaskan ke kawasan lain di negeri ini.
Dalam pada itu, Abang Johari turut menggariskan bagaimana pembangunan infrastruktur strategik seperti Jalan Pesisir Sarawak akan memperkukuh agenda pertanian dan ekonomi wilayah.
Apabila siap sepenuhnya kelak, perjalanan dari Sri Aman ke Kuching dijangka hanya mengambil masa kira-kira satu jam, sekali gus mengintegrasikan Sri Aman ke dalam ekosistem ekonomi Kuching sebagai kawasan komuter dari segi jarak dan masa.
Jalan pesisir empat lorong yang bermula dari Samarahan itu akan menghubungkan Jambatan Sejingkat, Tanjung Embang, Sebuyau, Lingga serta disepadukan dengan Lebuhraya Pan Borneo dan laluan ke Gedong, Simunjan dan Serian.
“Rangkaian jalan ini akan meningkatkan mobiliti rakyat dengan ketara, mempercepat pergerakan hasil pertanian dan membuka lebih banyak peluang ekonomi di kawasan luar bandar,” jelasnya.
Menurut Abang Johari, kesemua inisiatif ini, daripada Lembaga Padi, transformasi pertanian, hingga pembangunan infrastruktur adalah sebahagian daripada visi besar untuk memastikan pembangunan Sarawak berlaku secara seimbang, inklusif dan mampan.
Menyentuh mengenai Kompleks Islam Sarawak Sri Aman yang dirasmikan hari ini, beliau berkata kompleks tersebut, yang merangkumi bangunan pejabat dan komersial di atas kawasan seluas kira-kira 2.276 hektar, akan menjadi pemangkin pembangunan baharu Bandar Simanggang, khususnya di sepanjang Batang Lupar.
“Pembangunan ini bukan sahaja bersifat fizikal, tetapi mencerminkan perancangan jangka panjang kerajaan negeri dalam membina komuniti yang tersusun, berdaya maju dan sejahtera,” katanya.